Kerugian KWAP dalam skandal eFishery perlu disiasat walaupun tiada salah laku dikesan satakat ini - PM Anwar

LocalPolitics
20 Jul 2026 • 1:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerugian KWAP dalam skandal eFishery perlu disiasat walaupun tiada salah laku dikesan satakat ini - PM Anwar Image from: Kerugian KWAP dalam skandal eFishery perlu disiasat walaupun tiada salah laku dikesan satakat ini - PM Anwar hamden20/07/2026 - 13:35 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan mesti dilakukan terhadap kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berjumlah RM163.4 juta dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia, eFishery walaupun siasatan awal menunjukkan tiada sebarang salah laku.

 

Sehubungan itu beliau menyokong siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menegaskan proses itu perlu dilaksanakan secara telus.

 

"Berdasarkan laporan awal, saya tidak percaya terdapat unsur sedemikian. Namun, apa tindakan kita selepas dimaklum hal sedemikian, tentunya siasatan harus dilakukan.

 

"Sebab itu saya menyokong langkah SPRM meneliti sekiranya ada ketelanjuran atau percanggahan dari segi hukum atau unsur rasuah. Kerjasama penuh mesti diberikan kepada SPRM," katanya di Dewan Negara hari ini.

 

pm anwar

 

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda yang bertanyakan berkenaan isu kerugian dana pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery, Indonesia pada sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

 

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie, Anwar mengakui kes berkenaan perlu dijadikan peringatan kepada institusi pelaburan supaya tidak terlalu bergantung kepada reputasi pelabur antarabangsa atau firma audit dalam menilai risiko sesuatu pelaburan.

 

Beliau berkata, penilaian oleh firma audit terkemuka tidak boleh dianggap sebagai jaminan mutlak terhadap risiko penipuan, sambil mengambil contoh penglibatan institusi kewangan antarabangsa dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

"Dalam kes ini tiga syarikat audit terkemuka telah memberikan kelulusan, namun (penipuan) masih berlaku. Jadi panel pelaburan kini tercabar, untuk bergantung sebahagian kepada kepakaran audit dunia tetapi harus juga melihat kepada nilai dan peraturan," katanya.

 

Prestasi Keseluruhan KWAP

Dalam masa sama, Anwar meminta Ahli Dewan Negara melihat prestasi keseluruhan KWAP sebelum membuat penilaian terhadap isu tersebut.

 

Beliau berkata, KWAP telah mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh dengan merekodkan pendapatan bersih melebihi RM12.9 bilion, iaitu pertumbuhan dana sebanyak 9.3 peratus. 

 

Pada Sabtu lalu, KWAP memaklumkan pelaburannya dalam eFishery berjumlah RM163.4 juta, mewakili kira-kira 2.51% daripada jumlah pegangan saham syarikat tersebut.

 

KWAP berkata, pihaknya merupakan pemegang saham minoriti dalam eFishery, manakala sebahagian besar pegangan saham syarikat itu dimiliki oleh pelabur lain termasuk beberapa pelabur institusi global utama yang turut terkesan akibat dakwaan salah laku berkenaan.

 

Dana persaraan itu turut memaklumkan pihaknya telah menjalankan siasatan dalaman berhubung pelaburan tersebut selepas timbul dakwaan mengenai manipulasi kewangan dan salah nyata rekod kewangan syarikat berkenaan.

 

Kes eFishery kini menjadi perhatian selepas beberapa pelabur institusi global dikatakan turut mengalami kerugian susulan dakwaan penipuan yang melibatkan syarikat teknologi akuakultur tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai aspek tadbir urus, proses penilaian pelaburan serta mekanisme pemantauan risiko dalam pelaburan syarikat pemula. 

 

Dalam pada itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pasukan siasatan khas dari Ibu Pejabat SPRM telah dibentuk bagi mengkaji dan meneliti keseluruhan transaksi serta perkara berkaitan kes ini secara menyeluruh.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved