Kerugian segmen perladangan, AZRB cadang lupus 95% pegangan dalam PT Ichtiar Gusti Pudi
azan
21/11/2023 - 10:11
KUALA LUMPUR 21 Nov - Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) bercadangan melupuskan keseluruhan 95% pegangannya dalam unit perladangannya, PT Ichtiar Gusti Pudi Tbk, yang beroperasi di Kalimantan.
"Syarikat itu akan membuat pengumuman lanjut berkaitan cadangan pelupusan itu (termasuk sebarang perkembangan penting dan kemajuan yang dibuat dan mendapatkan kelulusan pemegang saham) yang mungkin sesuai dari semasa ke semasa," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu melengkapkan pengambilalihan 95% kepentingan dalam Ichtiar Gusti Pudi berharga 17 bilion rupiah Indonesia (RM5.12 juta), atau AS$1.8 juta pada awal 2005.
Berdasarkan laporan tahunan AZRB, kumpulan itu mempunyai tanah perladangan seluas 6,763.89 hektar dengan pegangan pajakan tamat pada 2033 dengan nilai buku bersih RM18.35 juta.
Ichtiar Gusti Pudi ialah unit perladangan utama AZRB, kerana 67% miliknya Betanaz Mills Sdn Bhd dan 40% milik Peak Crops Sdn Bhd tidak aktif.
Bahagian perladangan AZRB mencatatkan kerugian, menambah masalah kumpulan yang telah berada dalam keadaan rugi selama lebih empat tahun sejak tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020 (FY2020).
Semasa pandemik, kumpulan itu tidak dapat mengambil kesempatan daripada ledakan harga minyak sawit berikutan pengeluaran dalaman yang lebih rendah daripada jangkaan tanpa adanya penuai mahir, ditambah pula dengan larangan sementara eksport minyak sawit mentah (MSM) oleh Indonesia pada 2022.
Perolehan segmen perladangan sebanyak RM8.9 juta pada tahun kewangan berakhir Jun 2023 (FY23) mewakili 2.29% daripada jumlah pendapatan kumpulan sebanyak RM388.36 juta.
Pada asas tahun ke tahun, kerugian segmen perladangan FY23 AZRB sebelum cukai melebar kepada RM111.59 juta berbanding RM48.24 juta kerugian sebelum cukai (LBT) pada FY22.
Hasil segmen itu susut 95.85% kepada RM8.9 juta, daripada RM214.4 juta.
Pada FY21 bahagian perladangan AZRB menempah LBT sebanyak RM45.09 juta, dengan hasil sebanyak RM124.3 juta.
AZRB juga terlibat dalam kejuruteraan dan pembinaan, minyak dan gas, hartanah dan konsesi Lebuhraya Lembah Klang Timur dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. - DagangNews.com

