
KUANTAN - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, notis pemakluman secara rasmi itu telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK).
Menurutnya, ini adalah prosedur yang harus laksanakan oleh SPR apabila terdapat kekosongan kerusi DUN disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan seperti kemalangan jiwa atau berkaitan peraturan undang-undang dan sebagainya.
"PRK terpaksa diadakan, jadi sebagai Speaker dan timbalan saya (Timbalan Yang Dipertua DUN, Lee Chin Chen) kita telah menyerahkan surat bagi memaklumkan kepada SPR tentang notis kekosongan DUN Pelangai.
"Penyerahan notis ini untuk tindakan selanjutnya oleh pihak SPR," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Wisma Sri Pahang pada Isnin.
Notis itu diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli pada jam 11.30 pagi di sini.
Sementara itu, Zamree memaklumkan pihaknya akan mengadakan mesyuarat mengenai perkara terbabit pada minggu ini.
Johari yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu.
Beliau yang bersaing dalam pertandingan empat penjuru memperoleh 7,308 undi, menewaskan calon dari Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang.
Pada Khamis, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 lelaki maut dalam kejadian itu.
Antara nama yang terdapat dalam senarai penumpang ialah Johari, 53.
Lapan daripada yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.
Ketika kejadian pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada jam 2.48 petang.
Pesawat itu dikesan melencong ke kanan dari laluan penerbangan dengan siasatan awal mendapati ia sudah mendapat kebenaran untuk mendarat oleh menara kawalan Lapangan Terbang Subang.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, Selangor, pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN:

