
KUALA LUMPUR - Sejumlah RM29.7 bilion yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) berjaya diperoleh kembali Kerajaan sejak penubuhan Akaun Amanah Pemulangan Aset pada 2018, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata daripada jumlah itu, RM10.9 bilion adalah nilai kumulatif yang diperoleh daripada tahun 2022 hingga 30 Jun 2025.
Setakat 31 Julai tahun ini, jumlah bersih dana yang disalurkan kepada 1MDB untuk pembayaran hutang adalah sebanyak RM42.17 bilion.
"Jumlah ini merangkumi RM15.44 bilion daripada dana kementerian dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang diberikan dalam bentuk pendahuluan pemegang saham atau pinjaman, serta RM26.73 bilion daripada hasil pemulangan aset 1MDB.
"Sebanyak RM28.93 bilion digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB, manakala RM13.24 bilion diperuntukkan bagi bayaran faedah dan komitmen lain syarikat itu," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, lapor BH.
Ia bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH–Bandar Tun Razak) mengenai jumlah keseluruhan dana awam yang diperoleh semula kerajaan sejak 2022, termasuk pemulangan aset berkaitan kes berprofil tinggi seperti 1MDB.
Anwar (PH–Tambun) menambah baki hutang 1MDB yang terdiri daripada prinsipal dan faedah ke atas Sukuk Nota Jangka Sederhana Islam yang perlu dibayar sehingga 2039 adalah sebanyak RM9.02 bilion, termasuk RM5 bilion prinsipal dan RM4.02 bilion faedah.
Dalam hal berkaitan SRC, kerajaan telah menyalurkan RM5.35 bilion untuk menampung prinsipal, faedah dan komitmen kewangan lain, katanya.
Tegas Perdana Menteri proses memperoleh semula dana yang dikaitkan dengan 1MDB dan SRC masih berjalan.
"Ia adalah proses yang rumit dan panjang yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun, kerana bukan sahaja membabitkan kerjasama antara beberapa agensi domestik dan agensi asing dari pelbagai negara, tetapi juga memerlukan prosiding mahkamah dan rundingan penyelesaian.
"Kerajaan pada masa ini kekal komited sepenuhnya untuk meneruskan usaha memulihkan semua dana yang diseleweng berkaitan 1MDB dan SRC, dengan matlamat akhir memaksimumkan pulangan bagi menyelesaikan hutang dan memenuhi obligasi 1MDB serta SRC dalam tempoh masa yang ditetapkan," katanya lagi. - 14 Ogos, 2025
The post Kes 1MDB dan SRC: RM29.7 bilion diperoleh semula sejak 2018 appeared first on Scoop.

