Kes Aamina: AGC Digesa Beri Penjelasan, Huraikan Asas Perbezaan Pertuduhan

LocalPolitics
11 Oct 2026 • 3:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa memberikan penjelasan munasabah mengenai asas pemilihan pertuduhan serta pertimbangan bagi kes melibatkan seorang pemandu e-hailing yang memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, kematian tragis Aamina Imeely Nazim, 22, pelajar warga Maldives yang menjadi mangsa kemalangan bukan sekadar satu lagi kes kemalangan maut.

Menurut beliau, tragedi tersebut mengundang persoalan lebih besar mengenai keseragaman prinsip pendakwaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara. 

“Muhamad Syafiq Ibrahim didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, dengan pihak pendakwaan dilaporkan mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan sebelum mahkamah menetapkan jaminan keseluruhan RM9,000. 

“Persoalannya, apakah asas perundangan yang membezakan kes ini daripada beberapa kemalangan maut lain yang membawa kepada pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan?” soalnya.

Sivamalar Genapathy
Sivamalar Genapathy

Jelas Sivamalar, rekod kes terdahulu memperlihatkan perbezaan pendekatan yang wajar diperjelaskan. 

“Pada April 2026 misalnya, R. Saktygaanapathy didakwa membunuh Amirul Hafiz Omar dalam kemalangan di Klang yang turut dikaitkan dengan penggunaan dadah. 

“Pada Julai 2026 pula, R. Alex berdepan dua pertuduhan membunuh susulan kematian remaja Nur Dania Arissa Salim dan Nur Atikah Abdullah di Teluk Intan. 

“Dalam satu lagi kes di Klang, Low Kean Peng pada mulanya didakwa mengikut Akta Pengangkutan Jalan selepas kemalangan melibatkan alkohol yang menyebabkan kecederaan serius kepada Zulfiqar Zamir dan Amirul Nizam, sebelum pertuduhan itu digantikan dengan pertuduhan membunuh apabila salah seorang mangsa meninggal dunia,” katanya.

Beliau menarik perhatian, kesemua kes berkenaan menunjukkan penggunaan Seksyen 302 dalam keadaan tertentu, justeru masyarakat berhak mengetahui apakah perbezaan material dari sudut fakta dan keterangan yang menjadi asas kepada keputusan pendakwaan dalam kes Aamina.

“Sebagai seorang peguam, saya memahami bahawa sesuatu pertuduhan tidak boleh ditentukan semata-mata berdasarkan akibat kemalangan atau kemarahan masyarakat. 

“Kesalahan membunuh memerlukan elemen undang-undang dan keterangan yang mencukupi, manakala Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa budi bicara pendakwaan kepada Peguam Negara,” katanya. 

Namun tegas beliau, kuasa tersebut membawa tanggungjawab besar untuk memelihara kepercayaan awam. 

“Saya tidak menuntut semua kes didakwa menggunakan seksyen yang sama tanpa mengambil kira faktac sebaliknya, saya menuntut penjelasan tentang prinsip yang membezakan keputusan tersebut. 

“Budi bicara pendakwaan mesti dipandu oleh undang-undang dan bukti, bukannya tekanan politik, pengaruh pihak tertentu atau sentimen yang tercetus selepas sesuatu kes menjadi tular,” katanya.

Mengulas lanjut, Sivamalar berkata, keputusan akhir mengenai jaminan sememangnya terletak pada mahkamah, namun pendirian pihak pendakwaan juga wajar dijelaskan dari sudut kepentingan awam. 

“Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan dan perlindungan sama rata di sisi undang-undang. 

“Prinsip ini tidak bermaksud setiap kes mesti menerima pertuduhan serupa, tetapi setiap keputusan perlu berasaskan pertimbangan objektif, bukti yang relevan dan layanan yang tidak memihak,” katanya.

Tegas beliau, ketelusan bukan campur tangan terhadap kebebasan pendakwaan tetapi asas untuk memastikan kuasa yang besar tidak menimbulkan keraguan terhadap institusi keadilan.

“Aamina datang ke Malaysia untuk menuntut ilmu dan membina masa depan, tetapi perjalanan hidupnya terhenti sebelum sempat impian itu tercapai. Kehilangannya tidak boleh dipandang ringan hanya kerana beliau bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Tambah Sivamalar, keluarga semua mangsa dalam kes terdahulu juga berhak mendapat keadilan berdasarkan undang-undang, bukan perhatian media. 

“Negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang tidak boleh membiarkan timbulnya persepsi bahawa kekuatan sesuatu kes bergantung pada siapa mangsanya atau sebesar mana kemarahan rakyat. 

“Keadilan tidak sepatutnya menjadi lebih tegas apabila rakyat bersuara lantang, atau kelihatan lebih longgar apabila sesuatu tragedi tidak mendapat perhatian. Nyawa bukan ukuran populariti, dan keadilan tidak boleh mempunyai dua darjat,” katanya. - Getaran, 11 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved