
SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun atau Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memberikan hujah atau alasan yang mendorong kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) 47 kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, pihaknya percaya dengan penjelasan terperinci tersebut dapat memberikan pencerahan kepada semua pihak yang masih tertanya-tanya dengan alasan timbalan pendakwa raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar menggugurkan pendakwaan.
“Kami percaya dengan penjelasan terperinci tersebut akan dapat memberikan pencerahan kepada semua pihak.
“Ia sekali gus mengangkat integriti institusi undang-undang negara khususnya AGC dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, pihak pendakwaan bagi kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan Ahmad Zahid memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa mereka mahu menghentikan prosiding berkenaan.
Mohd Dusuki memaklumkan, ia akan memberi kesan kepada Presiden UMNO itu supaya dilepas tanpa dibebaskan atas semua pertuduhan DNNA.
Dalam pada itu, Mohd Hatta memaklumkan, pihaknya menghormati keputusan mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid pada Isnin atas prinsip Kedaulatan Undang-undang yang didukung parti tersebut selama ini.
“Amanah yakin bahawa proses perundangan dan prosiding mahkamah di sepanjang perjalanan kes ini telah pun dicermati dan diadili oleh Yang Arif Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan),” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid hadir prosiding 47 kes rasuah, pecah amanah, AMLA

