Kes Amang Seksual: Naim Daniel Anggap Ia Tuduhan Berat, Ingin Bersihkan Nama [Video]

LocalEntertainment
17 Jun 2025 • 1:15 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Teka-teki berkaitan siapakah pelakon dan penyanyi terkenal yang didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada baru-baru ini akhirnya terjawab selepas Naim Daniel tampil di mahkamah pagi tadi (17 Jun).

Selebriti Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, ditemui pihak media di luar pekarangan Mahkamah Sesyen Putrajaya.

Pelantun lagu Sumpah itu menyifatkan dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan bawah umur itu adalah satu tuduhan yang berat.

Naim serah kes yang berlaku kepada sistem perundangan, tekad ingin bersihkan nama

Menurutnya, dia menyerahkan kes yang berlaku kepada sistem perundangan dan bertekad ingin membersihkan namanya semula.

“Saya baru sahaja didakwa untuk satu tuduhan berat dan saya faham semua ada persoalan, banyak tanda tanya dan mengejutkan sesetengah pihak juga.

“Buat masa sekarang, saya belum bercadang mengulas panjang mengenai perkara ini kerana masih di peringkat awal. Saya juga tidak ingin ada sebarang campur aduk yang mungkin boleh menganggu perbicaraan nanti.

“Saya serahkan semua kepada sistem keadilan dan saya komited memberi kerjasama penuh untuk membersihkan nama,” katanya dipetik mStar.

Naim buat masa ini ingin fokus kepada kesejahteraan diri

Mengulas lanjut, pemenang tempat pertama Anugera Juara Lagu (AJL 34) itu pada ketika ini hanya mahu fokus kepada kesejahteraan dirinya.

“Saya harap dapat doa daripada semua orang. Saya mahu fokus pada ‘well being’ saya sahaja. Saya sihat, terima kasih sebab bertanya. Alhamdulilah keadaan saya baik dan tidak melatah.

“Buat masa ini, saya mahu tenangkan diri dahulu,” katanya.

Naim selesai bayar ikat jamin RM12,000

Sementara itu, memetik Kosmo pula, salah seorang peguam mewakili Naim, Datuk Amirul Ridzuan Hanif berkata, anak guamnya itu sudah selesai membayar wang ikat jamin selepas dituduh di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) kerana melakukan amang seksual fizikal.

“Hari ini, Naim membayar wang ikat jamin RM12,000 yang telah ditetapkan oleh mahkamah dan pasport antarabangsa miliknya juga sudah diserahkan kepada pihak mahkamah,” katanya.

Jelas Amirul lagi, sebutan untuk kes terbabit akan berlangsung pada 18 Ogos hadapan di Mahkamah Sesyen Putrajaya.

Naim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal

Difahamkan, Naim mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca terhadapnya di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary dalam prosiding yang dilakukan secara tertutup.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shahruddin manakala Naim diwakili peguam Mohd. Irwan Sumadi dan Amirul.

Terdahulu, selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya.

Source: