SHAH ALAM - Kehadiran seorang tokoh politik yang juga anggota Kabinet dalam sesi perbicaraan aktivis, Arumugam Dorasamy adalah tidak wajar dan berisiko menimbulkan persepsi campur tangan politik.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, ini kerana prinsip kebebasan institusi keadilan menuntut agar proses siasatan dan pendakwaan dilaksanakan tanpa sebarang bayangan pengaruh luar.
Menurutnya, jika tidak ditangani dengan pendekatan adil, konsisten dan berhemah, keadaan ini berisiko mengheret masyarakat ke dalam kitaran syak wasangka dan reaksi berlebihan yang boleh merosakkan asas keharmonian negara.
"Sehubungan itu, ABIM mengemukakan tiga tuntutan. Yang pertama penjelasan rasmi dan terbuka daripada pihak berkuasa mengenai perbezaan prosedur pengendalian tertuduh, termasuk penggunaan gari.
"Kedua, jaminan tegas bahawa tiada campur tangan politik dalam mana-mana proses siasatan dan pendakwaan.
"Terakhir, penyeragaman dan pematuhan ketat terhadap standard operasi (SOP) penguatkuasaan, khususnya dalam kes berprofil tinggi," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.
Terdahulu, Arun, 56, ditemani Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran dan barisan peguamnya tiba di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan sebuah video di aplikasi WhatsApp.
Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan melalui video yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Tambah Ahmad Fahmi, ABIM menegaskan bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan secara saksama.
"Kegagalan menangani isu persepsi ini akan menghakis kepercayaan rakyat serta membuka ruang kepada ketegangan yang tidak perlu.
"Malaysia memerlukan keadilan yang tegas, konsisten dan diyakini bukannya keadilan yang dipersoalkan," ujarnya.
