Kes Balai Polis Ulu Tiram: Peguam minta rakaman CCTV, rekod lokap

LocalPolitics
17 Apr 2026 • 3:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes Balai Polis Ulu Tiram: Peguam minta rakaman CCTV, rekod lokap
Serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru pada 17 Mei 2024 meragut nyawa dua anggota polis.

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat supaya dibekalkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan rekod pendaftaran lokap bagi lima ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Mei 2024 lalu.

Peguam, Faizal Rahman berkata demikian ketika perbicaraan hari keempat bagi sembilan pertuduhan berkaitan keganasan yang dihadapi lima anggota keluarga penyerang balai polis tersebut.

Beliau berkata, bahan bukti itu akan membantu pembelaan dalam menilai keterangan saksi pendakwaan ketiga, penuntut universiti, Muhamad Farhan Haiqim Mohd Isa, 24.

Peguam itu berkata, saksi berkenaan memberi keterangan bahawa wujud perbualan bersama dua anak guamnya iaitu tertuduh pertama, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 64, dan anak lelakinya yang juga tertuduh kedua, Radin Romyullah, 36.

Katanya, dalam prosiding lalu, penuntut itu memberitahu mahkamah bahawa beliau telah berbual dengan dua lelaki tersebut ketika direman dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

“Sedangkan anak guam mendakwa mereka ditempatkan di lokap berbeza.

“Justeru, kami percaya rekod pendaftaran lokap dan rakaman CCTV yang berada dalam kawalan pihak pendakwaan adalah relevan untuk dikemukakan kepada mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan kelak dapat mengelakkan situasi keterangan lisan saksi bercanggah dengan keterangan anak guam.

Sekiranya rakaman CCTV menunjukkan tiada pertemuan berlaku dalam sel berkenaan, beliau berkata ia memberi implikasi besar terhadap kredibiliti keterangan saksi pendakwaan tersebut.

Menurutnya, perkara ini bukan serangan terhadap saksi, tetapi dokumen berkenaan akan membantu mahkamah mencapai keputusan yang adil.

Katanya, keterangan berkaitan perbualan di lokap merupakan isu utama dan tidak boleh dipandang ringan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam berkata permohonan berkenaan perlu difailkan secara rasmi mengikut Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah serta perlu membuktikan kerelevanan dokumen yang dimohon.

Pendakwaan turut membangkitkan isu sama ada permohonan itu bersifat kolateral terhadap kredibiliti saksi, yang akan dihujahkan dalam bantahan mereka kelak.

Hakim, Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor kemudian memaklumkan bahawa pihak pembelaan perlu mengemukakan permohonan rasmi bagi membolehkan mahkamah mempertimbangkan perkara itu.

Dalam serangan itu, dua konstabel, Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar, 24, dan Allahyarham Muhamad Syafiq Ahmad Said, 26, terkorban, manakala Koperal Mohd Hasif Roslan, 40 (kini Sarjan), cedera akibat ditembak.

Penyerang lelaki berkenaan ditembak mati dalam insiden tersebut.

Mengikut pertuduhan, Radin Imran mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menanam fahaman ideologi keganasan, memberi sokongan kepada perbuatan pengganas, memiliki senjata api untuk menjalankan aktiviti berkaitan keganasan dan memiliki sebuah buku berkaitan kumpulan pengganas.

Ibu penyerang, Rosna Jantan, 61, pula didakwa atas satu pertuduhan gagal memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.

Sementara itu, adik-beradik penyerang, Radin Romyullah, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Daesh di sebuah rumah di lokasi sama.

Farhah Sobrina dan Mariah turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkaitan ideologi keganasan.

Perbicaraan bersambung pada 27 April depan.