
Kota Kinabalu: Kes seorang lelaki berusia 72 tahun yang didakwa membunuh bekas tunangnya sebelum mayat mangsa dikerat dan bahagian anggota badannya ditemui dalam tong sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Majistret Dzul Elmy Yunus membuat perintah itu terhadap Piluta Samad susulan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony ketika memohon pemindahan kes memaklumkan mahkamah bahawa kebenaran untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah diperoleh.
Peguam bela Datuk Ram Singh berkata pihak pembelaan tidak membantah permohonan berkenaan namun memohon supaya tarikh sebutan di Mahkamah Tinggi ditetapkan dalam tempoh seminggu.
Majistret kemudian memerintahkan supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh seminggu.
Piluta pertama kali didakwa pada 27 Februari kerana membunuh bekas tunangnya Hamidah Husin @ Lisa pada 11 Februari lalu antara jam 6 petang hingga 7 malam di sebuah rumah di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati apabila disabitkan kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Piluta kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pada 15 April lalu Mahkamah Majistret memerintahkan Piluta menjalani pemerhatian psikiatri di Hospital Mesra Bukit Padang susulan permohonan pihak pembelaan.
Pada 23 Julai pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa laporan psikiatri daripada hospital mengesahkan Piluta layak untuk membuat pengakuan dan dibicarakan serta tidak mengalami sebarang penyakit mental.
Selain Ram, Piluta turut diwakili peguam Joan Goh, Prem Ganasan, Ian Vun dan Prabjit Singh Gill.





![[VIDEO] Selesai bayar jamin RM450,000, Azeez Rahim masih dalam tahanan sehingga esok](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/5a43c9a0-d0c1-4258-b968-d3e56d1786b1-1024x682.jpeg)