Kes bunuh di Kelantan membimbangkan, naik lebih 100 peratus dalam empat bulan

18 May 2026 • 1:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes bunuh di Kelantan membimbangkan, naik lebih 100 peratus dalam empat bulan
Kes bunuh di Kelantan merekodkan peningkatan lebih 100 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

KOTA BHARU – Kes bunuh di Kelantan merekodkan peningkatan lebih 100 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencetuskan kebimbangan pihak polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebanyak lima kes bunuh direkodkan setakat ini berbanding hanya satu kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut beliau, polis tidak menolak faktor dadah sebagai antara penyumbang kepada jenayah berkenaan, namun siasatan mendapati tidak semua kes mempunyai kaitan dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu.

"Kalau dari segi peningkatan itu, memang bimbang juga sebab lebih 100 peratus berbanding tahun lepas dan ini baru empat bulan pertama.

"Kita tak boleh nak jangka bila orang nak bunuh orang. Ada kes berkaitan dadah, ada juga yang tidak positif dadah, jadi kita kena tengok kes demi kes," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peningkatan kes bunuh di negeri ini yang dilihat semakin membimbangkan.

Mohd Yusoff memberitahu, kebanyakan kes berlaku secara tiba-tiba susulan pergaduhan dan tindakan di luar kawalan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.

Menurutnya, polis bagaimanapun berjaya menyelesaikan beberapa kes berprofil tinggi dalam tempoh singkat termasuk yang melibatkan seorang pelajar kolej baru-baru ini.

"Kita tengok kebanyakan kes berlaku secara spontan. Bergaduh, kemudian jadi bunuh. Sebab itu sukar untuk kita jangka atau cegah lebih awal," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat supaya lebih peka terhadap pergerakan ahli keluarga terutama golongan muda selain memperkukuh pegangan agama dan nilai moral bagi mengelakkan individu bertindak di luar batasan.

"Kita minta masyarakat sentiasa waspada dengan persekitaran dan pergerakan anak-anak.

"Kadang-kadang bila kurang penghayatan agama dan iman, apa-apa boleh berlaku termasuk bertindak sampai membunuh," ujarnya.