TAWAU: Polis menahan empat suspek untuk membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh di luar sebuah premis hiburan di kawasan Fajar, Selasa lalu.
Ketua polis daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata empat lagi masih diburu.
“Semua empat suspek yang ditahan merupakan warga tempatan berusia di antara 22 hingga 35 tahun.
“Tiga daripada mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula 14 September, manakala, permohonan reman bagi seorang lagi suspek akan dibuat pada hari ini,” katanya pada Khamis.
Perintah reman itu, katanya, dikeluarkan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan siasatan lanjut kes tersebut yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengeluarkan gambar empat individu dikehendaki untuk mendapatkan bantuan awam mengesan keberadaan mereka.
Kesemua suspek yang masih bebas dikenal pasti sebagai Mohamad Johari Rahman atau Jojo dan Mohammad Zulkifli Rahman atau Jul yang beralamat di Tanjung Batu Laut; Mazlee Asan atau Yaszil, 42, (Lorong Haji Marzuki, Jalan Damai) dan seorang lagi yang nama dan alamat belum diketahui.
Polis meminta keempat-empat individu tersebut tampil bagi membantu siasatan. Jasmin juga memohon bantuan awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan keberadaan keempat-empat lelaki itu.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Zam Zarina Asri di talian 016-7375868 atau mana-mana balai polis dan IPD berhampiran.
Mengulas lanjut, Jasmin berkata, pemeriksaan forensik ke atas fizikal mayat mangsa, 27, mendapati terdapat dua kesan tikaman iaitu di bahagian dada sebelah kiri dan belakang tengkuk.
“Motif kejadian dipercayai pergaduhan yang berpunca daripada perselisihan faham,” katanya sambil menambah, mangsa juga dipercayai bersama orang lain ketika kejadian.
Ketika ini, katanya, polis masih meneruskan siasatan, termasuk mengesan objek tajam yang digunakan untuk menikam mangsa dan ujian darah juga turut dilakukan bagi menentusahkan jika mangsa berada di bawah pengaruh alkohol.
Jasmin berkata, polis menerima maklumat tentang penemuan mangsa yang dipercayai ditikam dan tidak sedarkan diri pada jam 4.18 pagi di luar sebuah premis hiburan – kejadian pula dianggarkan berlaku sekitar jam 4 pagi.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia.
Terdahulu, tular di media sosial gambar di lokasi kejadian yang mempaparkan mangsa dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah serta pasukan polis dan KKM yang sedang melakukan siasatan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

