
KUALA LUMPUR - Suspek yang disyaki membunuh ibu kandungnya Isnin lalu di Alor Star, Kedah didapati berhutang dengan ‘ah long’.
Siasatan awal polis mendapati, pinjaman berkenaan dibuat suspek di Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, suspek juga memiliki bebanan hutang, masing-masing melibatkan sewa motosikal p-hailing berjumlah RM700 dan sewa bilik yang dihuninya.
Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti punca sebenar pembunuhan.
“Keputusan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah tikaman di dada.
"Luka tikaman di paru-paru dan jantung kiri menyebabkan pendarahan dalaman yang teruk yang boleh mengakibatkan kematian dalam tempoh masa yang singkat,” katanya, seperti dilaporkan Berita Harian.
Syed Basri berkata, doktor juga mengesahkan bahawa luka tikaman dan tetakan pada tubuh si mati berpunca daripada penggunaan objek keras dan tajam seperti pisau dapur.
Terdahulu media melaporkan, Zahrullail Basir, 52, yang juga seorang eksekutif operasi di sebuah bank ditemui mati dengan tiga luka tikaman di mayatnya, dipercayai dibunuh oleh anaknya, Isnin lalu.
Susulan itu, polis menahan anak sulung Allahyarham pada jam 8.34 malam semalam ketika dia berada dalam sebuah bas, dipercayai cuba melarikan diri ke Selangor.
Pemuda berusia 29 tahun itu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 9 Februari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Getaran, 4 Februari 2026

