Kes bunuh ibu: Suspek dipercayai ada masalah kewangan, polis kesan senjata digunakan

LocalPolitics
3 Feb 2026 • 4:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis mereman seorang lelaki berusia 28 tahun yang merupakan suspek utama kes pembunuhan ibunya di sebuah rumah di Jalan Tanjung Bendahara.

ALOR SETAR – [DIKEMAS KINI] Hasil siasatan awal polis, tragedi seorang anak menikam ibunya hingga maut di Taman Sultan Abdul Halim di sini dipercayai berpunca daripada masalah kewangan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, bagaimanapun pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Beliau berkata, suspek juga dipercayai mempunyai masalah panas baran, namun perkara itu masih dalam peringkat siasatan dan penelitian lanjut.

Menurut beliau, suspek yang merupakan anak kepada mangsa dipercayai bertindak bersendirian ketika melakukan perbuatan menikam wanita berusia 52 tahun itu.

Mangsa, Zahrullail Basir, yang bekerja sebagai eksekutif operasi bank, disahkan maut akibat tikaman di beberapa bahagian badan serta kecederaan di kepala.

Syed Basri berkata, pihaknya kini giat mengesan senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.

“Siasatan berhubung senjata masih diteruskan,” katanya.

Dalam kejadian pada Isnin, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan daripada anak lelaki mangsa pada jam 8.45 pagi yang memaklumkan kejadian pembunuhan membabitkan ibunya.

Suspek berusia 29 tahun itu kemudian berjaya diberkas pada jam 8.34 malam hari sama ketika menaiki sebuah bas persiaran dalam perjalanan menuju ke Selangor.

Mahkamah Majistret Alor Setar membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.