
Kota Kinabalu: Rayuan terakhir seorang lelaki berusia 36 tahun terhadap sabitan dan hukuman mati atas kesalahan membunuh saudaranya yang berusia tiga tahun, akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Panel tiga ahli diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed menangguhkan rayuan Mohd Saifulrizan Sainan berikutan permohonan penangguhan oleh peguamnya.
Dua lagi hakim dalam panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Dato’ Abdul Rahman Sebli dan Dato’ Sri Hasnah Dato’ Mohammed Hashim.
Saifulrizan pada 9 Jun 2017 dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah melakukan kesalahan itu pada pukul 7 pagi 21 Nov 2014 di sebuah anak sungai di Kampung Jempangah, di Beaufort.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Rayuan Saifulrizan di Mahkamah Rayuan telah ditolak pada 25 Nov 2019.
Pada Selasa, peguam dilantik, Faezah Abby Ibnu yang mewakili Saifulrizan memohon penangguhan, memberitahu mahkamah bahawa dia baru-baru ini menyedari terdapat satu ekshibit yang tiada dalam rekod rayuan untuk Mahkamah Persekutuan, yang mengandungi 30 keping gambar si mati di tempat di mana mayatnya ditemui.
Faezah juga berkata dia difahamkan bahawa ekshibit itu juga tiada dalam rekod rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Ekshibit ini agak material untuk dikemukakan oleh perayu dan merujuk kepada ekshibit ini dalam penghujahan saya sekarang, kata Faezah dalam memohon penangguhan kerana dia tidak mempunyai ekshibit itu untuk dia kemukakan.
Dia menambah bahawa dia dilantik untuk perayu di Mahkamah Persekutuan dan dia bukan peguam bagi perayu semasa perbicaraan dan rayuan di mahkamah rayuan.
Bersama Faezah ialah peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

