
TAWAU: Pasukan pendakwaan kes perbicaraan membabitkan 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD), yang berdepan dakwaan membunuh seorang pelajar Bioteknologi, Mac lalu, menutup kesnya pada Isnin selepas selesai memanggil kesemua 25 saksinya untuk memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Datuk Duncan Sikodol menetapkan 30 Disember untuk kedua-dua pihak memfailkan hujahan, 6 Januari 2025 bagi berbalas hujahan serta 13 Januari sebagai tarikh sebutan untuk memastikan hujahan sudah difailkan.
AdvertisementSaksi-saksi termasuk pengarah KVLD, warden kolej, ibu mangsa, paramedik, pakar patalogi forensik, pegawai kimia, empat pegawai polis dan 13 saksi pelajar yang terdiri daripada 10 individu bawah umur dan tiga lagi masing-masing berusia 19 dan 20 tahun.
Perbicaraan kes di peringkat pendakwaan berlangsung selama 12 hari sejak bermula 19 November lalu.
SPONSORED CONTENT Shell Sabah Deepwater Production Manager Earns Unsung Hero Award Daily Express had the opportunity to interview Musti whose story reflects the power of determination and resilience. Read more Semasa perbicaraan, hakim, pihak pendakwa dan peguambela melawat lokasi kejadian di Lahad Datu.
Bagaimanapun, perbicaraan hari kedua (20 November), membabitkan saksi pertama, ditangguhkan ke 26 November selepas hakim membenarkan bantahan awal dikemukakan dua peguambela berhubung isu lantikan peguam, yang khuatir wujud konflik kepentingan antara sembilan tertuduh yang diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Kamarudin Mohmad Chinki.
Advertisement (adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});Perbicaraan penuh kemudiannya bersambung 26 November lalu sehingga Isnin (9 Disember) dengan saksi terakhir pada hari ke-12 perbicaraan melibatkan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu yang juga pegawai penyiasat kes, ASP Suddin Tjinke.
Sepanjang perbicaraan, saksi memberi keterangan mengenai pelbagai aspek kes, termasuk kesan 107 kecederaan ditemui pada seluruh tubuh (head to toe) termasuk pada kemaluan mangsa, kejadian mangsa “dikeroyok” (dipukul, ditendang dan ditumbuk beramai-ramai) dan insiden berpunca daripada perselisihan faham apabila mangsa didakwa mencuri wang milik tertuduh kedua dan ketiga.
Advertisement (adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});Ibu mangsa juga memberi keterangan mendakwa pihak KVLD tidak memberitahu kejadian sebenar menimpa anaknya, apabila hanya diberitahu mangsa mengalami sesak nafas.
Punca kematian mangsa pula dilaporkan akibat kecederaan dada dan tisu lembut, disebabkan objek tumpul.
Saksi bersetuju dengan peguambela bahawa mangsa mungkin boleh diselamatkan sekiranya kejadian dilaporkan awal dan mangsa diberikan rawatan awal, kerana dia masih muda.
Saksi mata (pelajar) pula mengakui tidak melaporkan kejadian kepada warden asrama kerana takut dan tidak mahu terlibat, ketika pemeriksaan pihak pendakwaan dan peguambela.
Dalam perbicaraan itu juga, lebih 200 barang kes dikemukakan kepada mahkamah, antaranya baju dan seluar dipakai mangsa, telefon bimbit, tuala, cebisan tilam, pengecas telefon bimbit yang didakwa digunakan memukul belakang mangsa, spesimen kuku dan darah.
Sepanjang perbicaraan berlangsung, ahli keluarga tertuduh setia menghadiri prosiding berkenaan dari pagi ke petang, sehingga anak-anak mereka dibawa keluar meninggalkan pekarangan mahkamah dengan lori polis ke Penjara Tawau.
Mereka dilihat tidak melepaskan peluang memeluk dan memberi kata-kata semangat kepada anak-anak mereka dan situasi berkenaan sering menjadi bahagian menyedihkan bagi sesiapa yang menyaksikannya.
Pada satu ketika, Duncan memberi amaran kepada ahli keluarga tertuduh agar tidak mengganggu saksi pendakwaan, berikutan insiden saksi membuat laporan polis untuk keselamatan diri kerana mendakwa diganggu keluarga tertuduh.
13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dituduh membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di Kolej Vokasional Lahad Datu antara jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin, Ram dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivian Thien, Jhesseny P. Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abdul Latif bersama TPR Ng Juhn Tao dan TPR Batrisyia Mohd Khusri.
Pada penutupan kes pada Isnin, pendakwaan menawarkan 25 saksi iaitu 17 polis termasuk dua jurufoto, dua doktor, seorang warden (guru) KVLD dan seorang pegawai kimia, kepada peguambela.

