Kes Bunuh Pelajar KVLD Tawau: Tertuduh dakwa dipaksa tulis pengakuan oleh guru disiplin

LocalPolitics
11 Mar 2025 • 1:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Lagatah Toyos

TAWAU: Dua saksi pembelaan kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa mereka dipaksa guru disiplin sekolah ‘Cikgu Firdaus’ unruk menulis pengakuan bahawa mereka memukul mangsa sehingga mengakibatkan kematiannya.

Tertuduh kelima, yang merupakan saksi pembelaan pertama, membuat kenyataan itu pada hari pertama peringkat pembelaan perbicaraan itu.

Semasa semasa balas oleh Peguam Kamarudin Mohmad Chinki, saksi berusia 18 tahun itu menjawab dia diberikan kertas A4 untuk menulis pengakuan memukul mangsa yang mengakibatkan kematiannya.

Tertuduh kelima, yang diwakili peguam Abdul Ghani Zelika itu juga bersetuju bahawa pengakuan yang ditulis pada kertas berkenaan adalah secara paksa dan bukan atas kerelaannya.

Bagaimanapun, apabola ditanya oleh peguam itu mengenai kandungan surat itu, dia menjawab dia tidak ingat apa yang ditulisnya.

Dia juga tidak pasti sama ada dia melihat Cikgu Firdaus menyerahkan kertas pengakuan tersebut semasa polis datang ke Bilik Danum KVLD.

Sementara itu, saksi pembelaan kedua, yang juga tertuduh ketujuh, turut memberikan keterangan bahawa Cikgu Firdaus memberikan mereka kertas kosong A4 dan pen untuk mereka menulis apa yang terjadi.

“Saya menulis bagi menceritakan yang saya tidak terlibat dalam memukul si mati. Lepas siap menulis di kertas A4, saya serahkan kepada Cikgu Firdaus dan seterusnya saya diasingkan ke satu kumpulan di mana saya disuruh masuk ke dalam bilik kecil.

“Saya dan beberapa pelajar yang lain terus berada di dalam bilik kecil tersebut sehinggalah ketibaan polis pada lebih kurang jam 11 pagi,” katanya dalam kenyataan saksinya.

Tertuduh kelima berusia 17 tahun itu, yang diwakili peguam Jheseny P. Kang, turut menyatakan sepanjang ditahan oleh Cikgu Firdaus sehinggalah dibawa ke balai polis untuk rakaman percakapan, ibu bapanya tidak pernah dihubungi.

Semasa rakaman percakapan dijalankan, dia mendakwa dia juga dipaksa membuat pengakuan memukul si mati dalam kertas dan jika tidak, pegawai yang merakam percakapan itu mengugut akan menumbuknya, lalu dia menurut sahaja arahan kerana takut.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ram Singh, saksi tersebut menjawab ‘tidak mengikut apa yang saya tulis’ ketika ditanya samada polis menyoal mengikut apa yang dia tulis dalam kertas A4 semasa di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Ram: Dalam kertas A4 kamu cakap kamu tidak memukul si mati tetapi di perenggan 7 (kenyataan saksi), kamu cakap kamu dipaksa membuat pengakuan kamu memukul si mati. Mengapa kamu membuat pengakuan di hadapan polis sedangkan kamu cakap kamu tidak memukul si mati?

Saksi: Mereka menggertak.

Ram: Apa yang mereka gerak?

Saksi: Kalau saya tidak cakap, dorang (mereka) tumbuk.

Ram: Siapa diorang?

Saksi: Pegawai yang menyiasat saya.

Ram: Adakah pegawai itu tumbuk kamu?

Saksi: Hampir.

Bagaimanapun, apabila disoal lanjut, saksi itu tidak tahu nama pegawai terbabit tetapi mengenali mukanya.

Dia juga mengesahkan bahawa pegawai berkenaan tidak memberi keterangan di mahkamah.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Kesemua 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dituduh membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD) di antara jam 9 malam pada 21 Mac hingga 7.38 pagi pada 22 Mac 2024.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nur Nisla Abd Latif dengan dibantu TPR Ng Juhn Tao dan TPR Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye.

Mereka termasuk tertuduh pertama, ketiga, keempat, kelapan, kesepuluh, ke-11, ke-12 dan ke-13.

Lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika (tertuduh kelima), Vivian Thien (tertuduh keenam), Jhesseny P. Kang (tertuduh ketujuh), Kusni Ambotuwo (tertuduh kesembilan) dan Mohamed Zairi Zainal Abidin (tertuduh kedua).