
TAWAU: Seorang lagi anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa berhubung kes bunuh seorang pemandu e-hailing pada 16 Januari lalu, menjadikan sembilan suspek dituduh termasuk dua wanita dan seorang pegawai kanan polis bergelar Datuk.
Tiada pengakuan direkodkan daripada John Kennedy Sanggah, 44, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Tertuduh didakwa bersama enam yang sudah dituduh pada 13 Januari 2023 di antara jam 7.30 hingga 11.30 malam di ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, mencapai niat bersama membunuh Nurman Bakaratu, 61.
John yang merupakan suami kepada seorang tertuduh wanita sebelum ini diberikan bon jaminan sebagai saksi pendakwaan, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sementara itu, sebutan semula kes membabitkan kesemua tertuduh, termasuk John ialah pada 7 Julai depan, sementara menunggu laporan daripada beberapa jabatan.
Kes membabitkan bekas Ketua Staf Perisikan Esscom, SAC Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, yang didakwa bersubahat dengan enam tertuduh untuk membunuh mangsa sepatutnya dijadualkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ke atas John dan sebutan semua kes Mat Zaki dilakukan di hadapan Dzul Elmy, manakala, kes bagi enam lagi tertuduh lain disebut di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Mereka ialah Rosdi Rastam, 44, Dennis Anak Enit, 44, Fabian Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39 dan orang awam, Vivien Fabian, 34.
Leona turut menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi kesemua enam tertuduh serta akan mengeluarkan waran untuk perpindahan tertuduh daripada Penjara Sandakan ke Penjara Tawau dan dari Penjara Tawau ke Penjara Sandakan bagi Fabian, kecuali Vivien yang berada di Penjara Tawau.
Peguambela yang mewakili mereka sebelum itu memohon mahkamah agar membenarkan perpindahan tertuduh bagi memudahkan pihaknya bertemu dan membolehkan keluarga mereka datang melawat.
Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhamad Iskandar Ahmad bersama DPP Muhammad Ilmami Ahmad, DPP Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim dan DPP Low Win Hui.
Tertuduh masing-masing diwakili barisan peguambela yang berbeza, kecuali Mat Zaki, John, Khairul Azman, Mohd Azlan dan Vivien yang diwakili Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye.
Rosdi diwakili Datuk Ansari Abdullah, Abd Ghani Zelika dan Erveana Ansari; Dennis (Luke Ressa Balang dan Hairul Vaiyron Othman) dan Fabian diwakili Ameer Asraaf Khairee.
Pada 30 Januari lalu, salah seorang tertuduh, Nurima Juli, 33, yang merupakan bekas isteri mangsa, dituduh di Mahkamah Majistret atas dakwaan bersama beberapa individu masih bebas membunuh mangsa.
Dalam sidang mahkamah pada 6 Mac lalu, sebutan semula kes wanita itu ditetapkan pada 8 Mei depan kerana masih menunggu laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Kes bunuh itu menarik perhatian seluruh negara apabila tangkapan turut membabitkan pegawai kanan dan anggota polis bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), termasuk berpangkat SAC bergelar Datuk.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
