Kes bunuh: Tujuh termasuk pegawai, anggota polis didakwa

9 Feb 2023 • 1:29 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Tujuh lagi individu termasuk pegawai kanan polis bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu, berhubung kes pembunuhan seorang pemandu e-hailing yang mayatnya ditemukan pada 16 Januari lalu.

Lima pegawai dan anggota polis iaitu Rosdi Rastam, 44, Dennis Anak Enit, 44, Fabian Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39 dan orang awam, Vivien Fabian, 34, didakwa mencapai niat bersama untuk membunuh Nurman Bakaratu, 61, di ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5 antara jam 7.30 malam dan 11.30 malam pada 13 Januari 2023.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, didakwa bersubahat dengan kesemua enam tertuduh untuk membunuh mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pegawai kanan polis itu didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Sementara itu, tiga lagi individu yang dibawa ke mahkamah membabitkan kes sama, dipohon bon jaminan untuk hadir sebagai saksi pendakwaan iaitu orang awam Shim Vui Nyen dan dua anggota polis iaitu Usman Lanaga dan John Kennedy Sanggah.

Mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 untuk dua saksi polis tersebut dan jaminan RM10,000 untuk saksi orang awam. Kesemua tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan.

Mahkamah menetapkan 11 April 2023 untuk sebutan semula kes itu.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhamad Iskandar Ahmad, DPP Khairul Azreem Mamat, DPP Muhammad Ilmami Ahmad, DPP Rohaiza Abdul Rahman dan DPP Mohammad Fakhrurazzi Ahmad Salim.

Pembelaan dianggotai Chen Wen Jye, Ram Singh, Kimberly Ye yang mewakili Khairul Azman sementara Rosdi Rastam diwakili Kamarudin Chengki dan Timothy Daut.

Pada 30 Januari lalu, seorang penganggur Nurima Juli, 33, didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan membunuh Nurman di ladang sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas, Batu 5, di sini antara 7.30 dan 9 malam, 13 Januari lepas.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.