Kes bunuh Zayn Rayyan: Belum ada pemilik dashcam tampil bantu siasatan

9 Dec 2023 • 6:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamad Fakhrudin (dua, kiri) dan Baharudin (kanan) tiba bagi menjalankan siasatan di kawasan penemuan mayat Zayn Rayyan di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada Sabtu. - Foto Bernama

PETALING JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima sebarang rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) daripada mana-mana pemilik kenderaan yang merupakan penghuni di Apartmen Idaman, Damansara Damai, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid berkata, rakaman dashcam boleh dijadikan petunjuk membantu menyelesaikan kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

"Sekiranya ada pihak yang mempunyai rakaman tersebut (dashcam), saya yakin mereka akan memberi kerjasama yang baik kepada polis.

"Setakat ini, kita tidak tahu berapa dashcam yang ada rakaman melibatkan mangsa.

"Seandainya polis memperoleh bukti daripada dashcam, kita akan sahkan," katanya dalam sidang akhbar semasa berada di lokasi kejadian di Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat sini pada Sabtu.

Turut hadir ke lokasi, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.

Terdahulu, operasi mencari bahan bukti diteruskan pada hari ketiga di sekitar lokasi kejadian pembunuhan kanak-kanak malang tersebut.

Mohd Fakhrudin berkata, operasi mencari dan mengesan bahan bukti dilakukan oleh empat ekor anjing Unit Anjing Pengesan (K9) daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Beliau berkata, kepakaran anjing K9 tersebut digunakan di sekitar lokasi Zayn Rayyan ditemukan bagi mengesan sekiranya terdapat penemuan kepada petunjuk baharu.

Selain itu menurutnya, pasukan forensik turut digerakkan untuk mengesan penemuan-penemuan baharu yang boleh membawa kepada penangkapan suspek.

Tegas beliau, pihak polis tidak akan berputus asa dan meneruskan usaha menjejak suspek terlibat.

Malah Mohd Fakhrudin berkata, pihak polis akan meneruskan usaha mencari bukti-bukti yang dapat membantu siasatan, selain sentiasa berada di apartmen berkenaan.

Dalam pada itu, katanya, kerjasama daripada penduduk dan keluarga mangsa adalah sangat baik sejak hari pertama siasatan dilakukan.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini boleh tampil bagi memberi kerjasama kepada pihak polis.

"Perkara ini penting bagi mengukuhkan lagi siasatan, selain daripada penemuan saintifik dan keterangan awam yang boleh membawa kepada penangkapan suspek," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved