KUALA TERENGGANU – Peningkatan mendadak kes perceraian di Terengganu disifatkan sebagai petunjuk awal krisis sosial yang membimbangkan apabila mencatatkan jumlah tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Noor mendedahkan statistik bagi tahun 2025 menunjukkan kes perceraian melonjak kepada 3,810 kes berbanding 2,798 kes pada 2024 dan 1,802 kes pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, data Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut meletakkan Terengganu dalam kelompok lapan negeri tertinggi bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu.
"Ini bukan sekadar angka statistik, tetapi amaran kepada krisis sosial. Majoriti kes melibatkan pasangan muda dengan tempoh perkahwinan kurang 10 tahun akibat tekanan ekonomi, kegagalan komunikasi dan ketidakstabilan emosi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah Pemangku Raja Terengganu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini pada Selasa.
Sehubungan itu, Zuraida mencadangkan empat intervensi strategik termasuk memperkukuh ekonomi pasangan muda, mewajibkan pendidikan pengurusan kewangan serta menambah baik modul kursus praperkahwinan agar lebih praktikal.
Dalam pada itu, beliau turut menarik perhatian mengenai isu kesihatan wanita apabila kes kanser menunjukkan trend peningkatan sebanyak 40 peratus dalam tempoh lima tahun.
Katanya, data Jabatan Ginekologi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) merekodkan peningkatan daripada 1,464 kes pada 2021 kepada 2,004 kes pada tahun lalu melibatkan kanser payudara, usus, rahim, leukemia dan ovari.
"Keadaan di Terengganu amat membimbangkan apabila 76 peratus rakyat negeri ini berada dalam kategori obes, manakala satu daripada tiga remaja turut berdepan masalah berat badan.
“Obesiti dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama risiko kanser. Situasi ini adalah ‘bom jangka’ kesihatan yang perlu ditangani segera melalui kawalan nutrisi di sekolah dan kempen kesedaran yang lebih meluas," jelasnya.
Beliau turut menggesa agar agenda menangani obesiti dijadikan keutamaan memandangkan budaya pemakanan tinggi gula dan lemak menjadi punca utama yang mengancam kesejahteraan wanita di negeri itu.
tamat -





