
Kota Kinabalu: Lebih separuh atau 54 peratus bekalan air bersih Sabah hilang akibat kes curi air dan paip lusuh.
Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Ir. Shahelmey Yahya, 38 peratus daripada Air Tanpa Hasil (NRW) akibat kebocoran adalah di Kota Kinabalu.
“Jabatan Air Negei Sabah (JANS) sedang melaksanakan pengurusan risiko dengan harapan dapat meminimumkan kesannya dalam tempoh enam bulan dari sekarang.
“Kami menyasarkan untuk mengurangkan sekurang-kurangnya 10 juta liter sehari (MLD) daripada pembaziran, menjadikan NRW di Kota Kinabalu turun kepada bawah 25 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat kawasan di Putatan pada Isnin yang terjejas akibat gangguan air yang berlarutan sehingga seminggu.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri turut mendengar taklimat oleh syarikat konsesi, Jetama, yang memiliki Loji Rawatan Air Moyog di Penampang. Jetama adalah anak syarikat Sabah Development Berhad.
“Kerja-kerja penyelenggaraan baru-baru ini di loji Moyog telah menjejaskan kawasan di Putatan dan Selatan Kota Kinabalu tetapi bekalan dipulihkan secara berperingkat pada petang Ahad.
“Bagaimanapun, sesetengah orang mungkin masih mengalami tekanan air rendah. Pihak JANS masih menjalankan catuan berjadual bagi memastikan semua orang menerima bekalan air,” katanya.
Shahelmey berkata walaupun gabungan loji Moyog dan Kasigui boleh menjana sehingga 235 mld untuk kawasan terjejas, kedua-duanya masih mengalami defisit kerana permintaan adalah 250 mld.
“Pihak JANS telah mencadangkan satu skim bekalan air segera yang mampu mengepam keluar tambahan 5 ml air terawat. Pendekatan yang sama sedang dilaksanakan di Loji Telibong di Tamparuli untuk menangani masalah air di Tuaran.
“Ini akan mengambil masa sehingga 18 bulan untuk perolehan dan pembinaan. Saya akan bangkitkan perkara itu kepada Kabinet untuk kelulusan,” katanya.
Shahelmey berkata penyelesaian jangka pendek adalah mengimbangi tekanan air pada tangki air sedia ada dan menghantar bekalan air menggunakan lori tangki.
Tetapi akhirnya, penamat kepada kekurangan air Sabah adalah pembinaan empangan yang menjadi pertikaian hangat yang dicadangkan di Papar.
Dengan keperluan mendesak oleh ramai pihak, persoalannya ialah siapa yang akan bertindak sebagai pelaksana projek mega itu?
“Tidak kira syarikat tempatan atau antarabangsa. Tidak ada keutamaan selagi mereka mampu melakukannya supaya kita tidak berakhir dengan projek sakit (terbengkalai). Kami perlu menyiapkannya tepat pada masanya.
“Empangan itu kini dalam peringkat akhir kajian kebolehlaksanaan yang dijangka selesai pada suku ketiga 2023. Ini penting kerana kita tidak boleh mencadangkan apa-apa tanpa justifikasi,” katanya.
Dalam temu bual sebelum ini dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan Sepanggar, Mustapha Sakmud, beliau memberitahu Harian Ekspres mengenai keperluan yang sama untuk Sabah, yang dikatakan akan disokong Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Sementara itu, semua kemudahan sistem air prabayar di Pulau Gaya sudah siap tetapi Ibu Negeri tidak dapat memenuhi keperluannya sendiri.
“Jika kita pasang paip, keadaan di bandar akan menjadi lebih teruk. Pulau Gaya memerlukan 5 mld. Apabila Fasa 2 Loji Rawatan Air Telibong siap mungkin kita boleh pertimbangkan,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

