Kes dadah guna aset TUDM: Polis dijangka buat beberapa lagi tangkapan

LocalPolitics
24 Nov 2026 • 5:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes dadah guna aset TUDM: Polis dijangka buat beberapa lagi tangkapan
Saifuddin Nasution berucap pada Pelancaran Sidang Kemuncak & Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2027 (AISSE’27) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Siasatan kes penyeludupan dadah yang membabitkan penggunaan aset ketenteraan negara masih diteruskan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka melakukan beberapa lagi tangkapan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

"Siasatan belum terhenti dan kita akan ada lagi (tangkapan)," katanya pada sidang media selepas pelancaran Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AIESE27) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan taklimat terkini oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, sebanyak 13 individu telah ditahan setakat ini, yang terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam.

Saifuddin Nasution berkata, beliau juga dijadual menjawab soalan berkaitan isu berkenaan di Parlimen pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), Khamis ini.

Sindiket penyeludupan dadah itu terbongkar dengan penemuan 96.64 kilogram dadah disyaki methamphetamine bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram bahan kimia ketika pemeriksaan rutin terhadap barangan yang akan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di Pangkalan Udara Subang, baru-baru ini.

Sementara itu, Saifuddin Nasution menyifatkan usaha menerapkan integriti dalam kalangan penguat kuasa membuahkan hasil susulan penahanan seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) semalam.

"Kita jangan ingat seruan berterusan (mengenai integriti) masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Ini suatu contoh bagaimana anggota kita menghayati nasihat dan seruan kita,” katanya.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan penahanan seorang pegawai agensi itu berusia 40-an susulan aduan seorang pegawai wanita berhubung dakwaan salah laku membabitkan pegawai atasannya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved