
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini mendapati bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bersidang sebagai hakim Mahkamah Tinggi memutuskan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua pertuduhan terhadap Najib itu melampaui keraguan munasabah.
Mahkamah juga mendapati, tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan berhubung pertuduhan pertama dan telah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan serta Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB bagi memperoleh manfaat kewangan berjumlah RM2.3 bilion melalui empat fasa skim 1MDB.
Sequerah turut memutuskan bahawa pelaburan 1MDB dalam usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd adalah tidak sah, memandangkan tiada pelaburan tulen dilakukan.
Dana berkenaan sebaliknya dipindahkan ke Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikawal oleh Low Taek Jho, atau Jho Low.
Menurut laporan The Edge, mahkamah menolak dakwaan Najib bahawa beliau tidak mempunyai kawalan ke atas pemindahan dana 1MDB kepada PetroSaudi yang kemudiannya dikesan masuk ke akaun AmBank miliknya, dan menyifatkan hujah tersebut sebagai tidak bermerit.
Sequerah turut menyatakan bahawa Najib tidak pernah menafikan atau mempersoalkan kemasukan sejumlah besar dana ke dalam akaun peribadinya dan sebaliknya meneruskan perbelanjaan wang berkenaan.
Pertuduhan kedua melibatkan pengambilalihan oleh 1MDB terhadap dua syarikat penjana tenaga bebas, iaitu Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dan Mastika Lagenda Sdn Bhd.
Mahkamah mendapati pengambilalihan tersebut dilaksanakan secara tidak telus, apabila pegawai Kementerian Kewangan tidak dimaklumkan mengenai transaksi berkenaan.
Sequerah berkata, Najib telah memberikan kelulusan terlebih dahulu sebelum perkara itu dibentangkan kepada lembaga pengarah 1MDB.
Pertuduhan ketiga melibatkan usaha sama pelaburan antara 1MDB dan Aabar Investments PJS (ADMIC) bagi pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur.
International Petroleum Investment Company (IPIC) telah menjamin pelaburan Aabar, manakala bahagian 1MDB dijamin oleh Kementerian Kewangan yang diterajui Najib.
Bagi tujuan projek tersebut, pinjaman berjumlah AS$3 bilion diperoleh dan diatur oleh Goldman Sachs.
Menurut Sequerah, keseluruhan keterangan yang dikemukakan menunjukkan Najib mempunyai kepentingan langsung, menerima suapan dan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan ketiga.
Pertuduhan keempat pula berkaitan pinjaman berjumlah AS$330 juta daripada Deutsche Bank.
Sequerah berkata, Najib mengakui mempunyai pengetahuan mengenai pembiayaan semula pinjaman tersebut pada tahun yang sama.
Penghakiman yang mula dibacakan pada jam 9.17 pagi itu ditangguhkan pada jam 12.15 tengah hari sebelum disambung semula 3 petang tadi.
Sekiranya Najib disabitkan hukuman, pihak pendakwaan boleh memohon supaya hukuman penjara bagi kes ini dijalankan secara berasingan daripada hukuman penjara yang sedang dijalaninya berhubung penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Najib berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi memperoleh suapan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Setiap pertuduhan memperuntukkan hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Untuk 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA), beliau berdepan hukuman maksimum penjara lima tahun, denda sehingga RM5 juta, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes ini disifatkan sebagai antara perbicaraan berprofil tinggi yang paling mendapat perhatian dalam sejarah perundangan Malaysia.
Ia juga mempunyai implikasi besar terhadap masa depan politik Najib serta usaha berterusan negara untuk mendapatkan semula dana 1MDB yang diselewengkan. - Getaran, 26 Disember 2025
