Kes disyaki kencing tikus di taman rekreasi Kuala Pilah

LocalHealth & Fitness
13 May 2026 • 6:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes disyaki kencing tikus di taman rekreasi Kuala Pilah
JKNNS menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan rekreasi air terutama ketika musim hujan, menjaga kebersihan persekitaran serta tidak membuang sampah merata-rata.

SEREMBAN - Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) mengesahkan satu wabak disyaki leptospirosis (kencing tikus) melibatkan empat kes dikesan di sebuah taman rekreasi di Kuala Pilah.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, pihaknya memaklumkan semua individu terbabit mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan sakit otot selepas mengunjungi serta menjalankan aktiviti air di kawasan rekreasi berkenaan.

“Daripada jumlah tersebut, seorang pesakit dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut manakala tiga lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Sampel klinikal daripada kes-kes tersebut telah diambil untuk tujuan ujian pengesahan leptospirosis," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelas kenyataan berkenaan, penilaian risiko yang dijalankan di kawasan taman rekreasi berkenaan mendapati terdapat persekitaran yang kondusif bagi penularan penyakit

Sehubungan itu, JKNNS memaklumkan bahawa kawasan tersebut ditutup sementara bermula 10 hingga 17 Mei ini bagi kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan.

"Leptospirosis merupakan penyakit zoonosis yang boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia melalui bakteria Leptospira.

"Jangkitan boleh berlaku melalui luka pada kulit atau membran mukus yang terdedah kepada air, tanah atau makanan yang tercemar dan antara haiwan yang boleh menjadi perumah bakteria tersebut termasuk tikus, kucing, anjing, lembu, babi, arnab dan kuda," katanya.

Sehubungan itu kata JKNNS, orang ramai dinasihatkan mengelakkan kawasan rekreasi air terutama ketika musim hujan, menjaga kebersihan persekitaran serta tidak membuang sampah merata-rata.

"Jabatan ini akan terus memantau perkembangan semasa kejadian leptospirosis ini serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi berkaitan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan ketika mengunjungi pusat rekreasi dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami gejala selepas mengunjungi kawasan rekreasi," katanya.