KUANTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang telah menahan reman seorang lagi suspek kerana disyaki bersubahat mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan pembekalan peralatan pembedahan berjumlah kira-kira RM54,000.
Perintah reman selama dua hari sehingga Sabtu terhadap suspek telah dikeluarkan Majistret Siti Aisyah Ahmad selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Raub di sini pada Jumaat.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu telah ditahan kira-kira jam 10 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Raub, Pahang.
“Siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang penjawat awam di sebuah hospital di salah satu daerah negeri ini disyaki bersubahat dengan seorang suspek lelaki iaitu pengurus jualan sebuah syarikat pembekal barangan kesihatan yang sebelum ini telah ditahan pada Selasa.
“Suspek ditahan berkaitan kes yang sama iaitu mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan pembekalan peralatan pembedahan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah Kuala Lipis," katanya
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Dalam prosiding itu, suspek diwakili peguam, Navin Punj bersama Sofea An Nur.





