Kes Fitnah Media Sosial: Alif Ahmad Diperintah Bayar RM130,000 Kepada Dua Peguam

LocalPolitics
19 Mar 2026 • 10:40 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Aktivis media sosial, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin atau Alif Ahmad diperintahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membayar ganti rugi berjumlah RM130,000 kepada dua peguam selepas didapati bertanggungjawab menerbitkan kenyataan fitnah di media sosial.

Didapati menerbitkan kenyataan fitnah

Memetik laporan daripada Bernama, keputusan itu sekali gus menamatkan kemelut perundangan yang berlarutan sejak akhir 2021 apabila kedua-dua plaintif mengambil tindakan bagi membersihkan reputasi profesional mereka.

image is not available

Dalam penghakiman, Hakim Datuk Khadijah Idris memutuskan bahawa plaintif pertama, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor berjaya membuktikan unsur fitnah bagi terbitan kedua (F2) oleh defendan.

Mahkamah kemudian memberikan ganti rugi global sebanyak RM80,000 kepada beliau, merangkumi ganti rugi am, khas dan teladan, selain kos tindakan RM10,000.

Bagi plaintif kedua, Asiah Abd Jalil, mahkamah turut mendapati beliau berjaya membuktikan kes fitnah berkaitan terbitan keenam (F6).

Mahkamah memerintahkan defendan membayar ganti rugi global RM50,000 kepada Asiah serta kos guaman sebanyak RM7,000.

image is not available

Dalam masa sama, tuntutan balas yang dikemukakan oleh Ahmad Aliff terhadap kedua-dua peguam tersebut ditolak sepenuhnya oleh mahkamah.

Terdahulu, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi am sehingga RM1 juta setiap seorang, selain memohon agar kenyataan fitnah ditarik balik serta permohonan maaf dibuat secara terbuka di Facebook.

image is not available

Sepanjang prosiding, plaintif menegaskan bahawa hantaran defendan bukan sahaja mencemarkan reputasi, malah menjejaskan urusan profesional mereka sebagai peguam.

Sementara itu, peguam Mahmud Jumaat yang mewakili Ahmad Aliff memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan dalam masa terdekat, selain menjelaskan hanya dua daripada 19 tuntutan yang dibenarkan mahkamah.

Sumber: Bernama

The post Kes Fitnah Media Sosial: Alif Ahmad Diperintah Bayar RM130,000 Kepada Dua Peguam appeared first on Borak Daily.