Kes hina mahkamah libatkan Shafie Apdal didengar 3 Februari

LocalPolitics
19 Dec 2025 • 3:44 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kes menghina mahkamah membabitkan Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal susulan kenyataanya yang didakwa berkaitan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan didengar pada 3 Februari 2026.

Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan turut mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan afidavit mereka selewat-lewatnya pada 26 Disember ini manakala jawapan balas perlu difailkan pada atau sebelum 9 Januari 2026.

Kedua-dua pihak juga diarahkan memfailkan hujahan masing-masing pada atau sebelum 19 Januari 2026.

Pada prosiding Khamis kehadiran Shafie dikecualikan namun mahkamah menasihatkan bahawa bagi setiap sebutan atau pendengaran kes ini sebarang permohonan untuk mengecualikan kehadiran mestilah terlebih dahulu dikemukakan kepada mahkamah.

Permohonan Shafie untuk mengecualikan kehadirannya dibenarkan selepas pihak pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut.

Dalam prosiding sama peguam Chen Ket Chuin KC bersama peguam Jakariya Ab Jalil dan Batholomew Jingulam yang mewakili Shafie memaklumkan mahkamah bahawa mereka telah memfailkan permohonan untuk membatalkan prosiding komital pada 15 Disember lalu.

Chen turut memaklumkan bahawa pihak pembelaan akan memfailkan afidavit sokongan terhadap permohonan tersebut serta bagi membantah prosiding komital berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohamad Mustaffa P Kunyalan yang hadir bersama TPR Christopher Enteri bagi pihak pendakwaan mengesahkan perkara itu.

Chen turut memohon supaya kes menghina mahkamah tersebut ditangguhkan sementara menunggu pelupusan permohonan kebenaran semakan kehakiman (JR) yang difailkan oleh pihak lain bagi mencabar inkues yang sedang berjalan.

Beliau berhujah bahawa keputusan permohonan JR itu akan memberi kesan kepada keseluruhan prosiding inkues dan boleh menjadikanya tidak sah.

Bagaimanapun Mohamad Mustaffa membantah permohonan tersebut dan mahkamah bersetuju dengan pendakwaan dengan menyatakan bahawa prosiding perlu diteruskan.

“Sekiranya terdapat sebarang perintah daripada Mahkamah Tinggi untuk saya menangguhkan prosiding ini, saya akan mematuhinya. Namun setakat ini tiada sebarang perintah sedemikian maka prosiding akan diteruskan,” kata Amir.

Dalam perkembangan berkaitan Che Muna Din atau lebih dikenali sebagai Mona Din mengaku bersalah atas pertuduhan sama dan dijatuhi hukuman denda maksimum RM300 atau penjara 14 hari jika gagal membayar denda.

Mahkamah menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes menghina mahkamah terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah selaras dengan pernyataan di bawah Perintah 52, Kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 serta dokumen sokongan berkaitan.

Hukuman bagi kesalahan menghina mahkamah itu diperuntukan di bawah Seksyen 99A dan perenggan 26 Jadual Ketiga Akta Mahkamah Rendah 1948 yang memperuntukan denda sehingga RM300 atau hukuman penjara tidak melebihi enam minggu.

Muna diwakili oleh peguam Jul Hamri Jumhani.