
KUALA LUMPUR – Peningkatan kes HIV bukan hanya berlaku ke atas golongan mahasiswa, tetapi turut melibatkan generasi muda secara keseluruhan.
Naib Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC), Dr. Dinesh Mahalingam berkata, situasi itu sangat membimbangkan, justeru usaha menyeluruh melibatkan semua pihak perlu dilaksanakan pada kadar segera bagi mengekang gejala itu.
Menurut beliau, MAC bagi tujuan itu menjalinkan kerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi menambah akses perkhidmatan HIV kritikal.
“Akses perkhidmatan ini melalui model outreach yang unik dengan menggunakan pekerja kesihatan komuniti.
“Pekerja kesihatan ini memainkan peranan penting dalam menghubungkan individu berisiko, termasuk pelajar muda, kepada perkhidmatan berimpak tinggi seperti Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP) dan ujian kendiri HIV,” katanya hari ini.
Dr Dinesh mengulas lanjut, stigma negatif terhadap pembawa HIV kekal menjadi penghalang biarpun terdapat kemajuan saintifik dalam perubatan seperti penggunaan PrEP, yang mengurangkan penularan HIV menerusi hubungan seksual sehingga 99 peratus.
Beliau berkata, stigma yang menebal itu menyebabkan golongan muda dan pelajar universiti masih teragak-agak untuk mendapatkan perkhidmatan atau sokongan.
“Oleh itu, semua usaha outreach MAC dan MAF tertumpu kepada mengurangkan stigma HIV dan menggalakkan ujian berkala kepada golongan muda untuk mengetahui status HIV mereka.
“Bagi mereka yang hidup dengan HIV, rawatan segera sangat penting kerana ia boleh menghalang penularan ke tahap lebih serius manakala bagi mereka yang berisiko, pendekatan PrEP bersama amalan seks selamat seperti penggunaan kondom boleh mengurangkan risiko penularan secara signifikan,” katanya.
Pada masa sama jelas Dr Dinesh, kerajaan disaran menurunkan had usia saringan HIV dari 18 kepada 16 tahun sebagai langkah pengesanan dan rawatan awal.
Katanya, cadangan tersebut dilihat sebagai antara usaha untuk mendidik pelajar mengenai aspek kesihatan seksual, selari dengan trend global yang menggalakkan umur ujian lebih rendah.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dan MAC, Jasmin Jalil pula menyifatkan pendedahan itu sebagai bendera merah yang menunjukkan usaha lebih serius perlu dilaksanakan, untuk mendidik golongan muda mengenai pencegahan HIV dan mengurangkan stigma.
"Dari aspek pendidikan, kami menyokong perlaksanaan Program Sihat Tanpa AIDS untuk Remaja (Prostar) yang baru sahaja diperbaharui di kampus institusi pendidikan tempatan.
"Berpandukan pada modul yang dibangunkan oleh pakar-pakar yang bertauliah, Prostar 2.0 akan digerakkan oleh pembimbing rakan sebaya (PRS) selari dengan slogan Oleh Remaja, Melalui Remaja, Untuk Remaja,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya merancang untuk melancarkan program berasaskan kampus di seluruh negara pada separuh kedua tahun ini.
Baru-baru ini, Kementerian Pengajian Tinggi di Parlimen mendedahkan peningkatan membimbangkan kes jangkitan HIV dalam kalangan pelajar berumur 18 hingga 25 tahun di institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurut pendedahan itu, 214 pelajar dari institusi awam dan swasta dilaporkan menghidap HIV pada 2020 diikuti 186 (2021), 221 (2022) dan 244 mahasiswa tahun lalu. – Getaran, 9 Julai 2024

