Kes Isteri Hamil Cedera Dipukul: Peguam Kamal Hisham Jelas Tidak Lagi Mewakili Rosmaini

LocalPolitics
5 May 2026 • 10:31 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Kes Isteri Hamil Cedera Dipukul: Peguam Kamal Hisham Jelas Tidak Lagi Mewakili Rosmaini

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (4 Mei), Mahkamah Rayuan Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap bekas suami Jahidah Nordin@Sylvester, Rosmaini Abdul Raof atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap wanita itu pada tahun 2021.

Hukuman maksimum itu dikenakan terhadap Rosmaini selepas panel tiga hakim menolak rayuannya terhadap sabitan serta hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru sebelum ini.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh perlu membayar ganti rugi kepada mangsa sebanyak RM25,000 dan tambahan penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Kes ini nyata mendapat perhatian ramai apatah lagi polis baru-baru ini mengesahkan suspek kes isteri hamil yang dipukul sehingga gugur di Kedah adalah orang yang sama dengan kes Jahidah.

Baca Artikel Berkaitan: Hukuman Penjara 14 Tahun Terhadap Rosmaini Adalah Setimpal, Jahidah Digambarkan Seperti Mayat Hidup – Hakim

Peguam Tidak Lagi Wakili Rosmaini Bagi Prosiding Akan Datang, Sebelum Ini Wakili Tertuduh Selepas Isteri Pertama & Anak-Anak Minta Tolong

Malah, Rosmaini yang berusia 43 tahun dan merupakan seorang peniaga dijangka akan berdepan dengan pertuduhan hampir sama bagi insiden yang menimpa isteri ketiganya pada Khamis (7 Mei) di Mahkamah Sungai Petani, Kedah.

Namun, peguam, Kamal Hisham Ja’afar menjelaskan pihaknya tidak lagi akan mewakili Rosmaini dalam prosiding akan datang.

“Sebelum ini, atas dasar profesionalisme selaku seorang peguam, saya akur untuk membela Rosmaini sehingga ke peringkat terakhir di Mahkamah Rayuan namun perkara itu disalahtafsir oleh masyarakat sehingga sanggup memburukkan barisan peguam.

“Sedangkan, saya mewakili Rosmaini secara percuma iaitu ‘pro bono’, selepas isteri pertama dan anak-anaknya merayu meminta pertolongan.

“Jadi, selesainya rayuan ini, saya tidak mewakili Rosmaini lagi, termasuk kes-kes lain pada masa hadapan,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Rosmaini Terima Keputusan Mahkamah Rayuan Namun Nafi Kejadian Menimpa Bekas Isteri

Tambah Kamal Hisham, Rosmaini kini ditahan di Penjara Kajang dan akan dibawa ke Kedah dalam masa terdekat untuk menghadapi pertuduhan tersebut.

Jelasnya lagi, anak guamnya itu kekal ditahan sekurang-kurangnya sehingga Rabu ini (6 Mei) sebelum dibawa ke utara tanah air.

Kongsi Kamal Hisham ketika ditanya tentang penerimaan hukuman Mahkamah Rayuan, dia menjelaskan Rosmaini menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.

Namun, anak guamnya itu masih menafikan kes yang menimpa bekas isteri. Pada masa yang sama, Rosmaini juga tidak akan memfailkan semakan ke Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Tinggi Johor Bahru Sebelum Ini Jatuhkan Hukuman Penjara 10 Tahun Terhadap Rosmaini

Untuk info, Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 4 November tahun lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 9 Disember 2024 yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmaini.

Walau bagaimanapun, Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan akhir diputuskan.

Namun, semalam menyaksikan ketiga-tiga panel hakim Mahkamah Rayuan bersetuju menambah hukuman penjara dari 10 tahun menjadi 14 tahun.

Rosmaini sebelum itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memukul Jahidah hingga menyebabkan kecederaan parah pada 17 Jun 2021.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Jahidah dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentak kaki pada bahagian belakang badan isterinya itu hingga menyebabkan kecederaan parah.

Rosmaini didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin kira-kira jam 6 pagi pada 4 Mei 2021.

Jahidah yang juga bekas kakitangan jabatan kerajaan kemudiannya dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor.

Jahidah dilaporkan selamat melahirkan anak lelaki secara pembedahan pada 30 November 2021 dan pada 14 Mac 2023, Mahkamah Rendah Syariah Seremban meluluskan permohonan tuntutan cerai fasakh yang dikemukakan Jahidah terhadap Rosmaini.

Baca Artikel Berkaitan: Mahkamah Syariah Luluskan Tuntutan Fasakh Jahidah Nordin, Wanita Yang Koma Akibat Dipukul Suami

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Pukul Isteri Hingga Gugur Ditahan Reman 7 Hari

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Tular Pukul Isteri Pernah Kahwin 9 Kali & Ada 11 Anak, Sasar Wanita Bekerja Sebagai Penjawat Awam