Kes Keganasan Terhadap Lelaki Meningkat Ketara – Nancy

LocalPolitics
25 Nov 2024 • 5:46 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan bahawa tindakan keganasan kini turut menjejaskan golongan lelaki pada tahap yang membimbangkan.

image is not available

Foto: Malay Mail

Menurut laporan Berita Harian, beliau menjelaskan lebih 1,000 kes gangguan seksual membabitkan lelaki telah direkodkan selepas kementerian menjalankan program advokasi antikeganasan seksual baru-baru ini, berbanding hanya belasan kes sebelum ini.

Ahli Parlimen Santubong itu mendedahkan kebanyakan kes keganasan dalam kalangan lelaki berlaku membabitkan individu sama jantina.

“Kementerian sebelum ini hanya merekodkan belasan kes sahaja, tetapi ia meningkat kepada lebih 1,000 kes selepas program advokasi berkenaan dianjurkan.

“Ramai lelaki enggan melaporkan (kes keganasan) dan mereka tidak mengadu kepada polis, sebaliknya tampil membuat aduan di kaunter pusat sokongan sosial (PSS).

“Jumlah ini membimbangkan sekali gus menunjukkan lelaki juga terancam (dengan keganasan). Justeru kita mahu mereka tampil membuat laporkan.

“Kita maklum kes sedemikian perlu ditangani, namun ia bukan terhad kepada kementerian ini sahaja, sebaliknya perlu turut membabitkan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

image is not available

Foto: Berita Harian

Terdahulu, beliau mengiringi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul merasmikan Kempen Menangani Keganasan terhadap Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan di Lobi Parlimen, hari ini.

Kempen Menangani Keganasan terhadap Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan diadakan setiap 25 November ini adalah selaras dengan resolusi yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Nancy turut menyatakan kebimbangan bahawa statistik sedia ada mungkin tidak mencerminkan jumlah sebenar kes keganasan di negara ini kerana ramai yang masih enggan tampil membuat laporan.

“Masih ramai khuatir mereka atau anak akan hilang tempat bergantung, jika melaporkan kes keganasan kepada pihak berkuasa.

“Namun, kita akan berterusan menganjurkan program kesedaran ini supaya rakyat tahu ada bentuk keganasan, membabitkan fizikal, seksual, ekonomi dan psikologi.

“Ini juga akan menjadi platform untuk memupuk kesedaran, terutama mangsa supaya tahu yang mereka tidak bersendirian. Kita ada di sini untuk membantu,” katanya.

Sumber: Berita Harian (Muhammad Yusri Muzamir)