Kes Kelewatan Kebumi Jenazah: JAIS Nafi Salah Masjid, Dakwa Ada Kekeliruan Dari Pihak Waris

LocalPolitics
27 Jun 2026 • 9:02 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (26 Jun), kecoh di media sosial mengenai urusan pengebumian jenazah di sebuah tanah Perkuburan di Kampung Pandan, Ampang, Selangor yang tergendala dipercayai gara-gara tindakan pihak masjid yang meminta waris membayar RM1,400.

Beberapa video mengenai isu berkenaan yang dikongsikan oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Cai di Facebook nyata mendapat perhatian ramai apatah lagi jenazah telahpun berada di liang lahad dan terpaksa menunggu lebih satu jam sebelum dikebumikan.

Urusan Kelewatan Pengebumian Jenazah Bukan Berpunca Dari Pihak Masjid, Ada Kekeliruan Dari Pihak Waris

Terbaharu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tampil menafikan kelewatan urusan pengebumian jenazah disebabkan oleh pihak masjid.

Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, kelewatan urusan pengebumian berlaku disebabkan terdapat kekeliruan daripada pihak waris yang telah menyerahkan sepenuhnya urusan kepada Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) yang tiada kaitan dengan pihak masjid.

JAIS Nafi Masjid Minta RM1,400 Untuk Pengurusan Jenazah

Bukan itu sahaja, Mohd Shahzihan turut menafikan dakwaan tular bahawa pihak masjid telah meminta RM1,400 daripada waris bagi urusan pengurusan jenazah.

“JAIS menafikan kelewatan disebabkan pihak masjid sebaliknya kelewatan ini berlaku kerana kekeliruan pihak waris yang telah menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada BKS yang tiada hubungan dengan pihak masjid.

“JAIS juga menafikan bahawa pihak masjid pada masa itu telah menuntut bayaran RM1,400 daripada waris bagi membolehkan jenazah diuruskan,” katanya.

Pihak Masjid Buat Laporan Polis, Dakwa Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam Yang Dikemukakan Waris Adalah Palsu

Terang JAIS dalam kenyataan sama, pihak masjid turut membuat laporan polis pada 26 Jun kerana borang permohonan pengebumian jenazah Islam yang dikemukakan waris didakwa palsu.

“Pihak masjid juga mendapati bahawa Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang dikemukakan oleh waris kepada pengurusan kubur yang membolehkan keberadaan jenazah di liang lahad didapati palsu.

“Oleh itu, satu laporan polis telah dibuat berkaitan pemalsuan dokumen tersebut pada 26 Jun 2026,” katanya.

Jenazah Adalah Ahli Kariah Masjid Nurul Hidayah, JAIS Dakwa Pihak Masjid Panggil Polis Kerana Ada Kemungkinan Berlaku Kekecohan

Terang Mohd Shahzihan lagi, hasil siasatan pihaknya mendapati jenazah merupakan ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam serta meninggal dunia pada 25 Jun lalu.

“Di peringkat awal, waris telah berurusan dengan Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) yang tidak mempunyai kaitan dengan pihak masjid bagi tujuan pengebumian jenazah dan waris berhasrat untuk mengebumikan jenazah di tanah perkuburan di lokasi Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana yang terletak di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Bapa Si Mati Setuju Masjid Uruskan Pengebumian Tetapi Datuknya Mahu BKS Uruskan

Walau bagaimanapun, jelas Mohd Shahzihan, bapa jenazah telah berjumpa dengan pembantu pengurus masjid dan bersetuju untuk pihak masjid mengambil alih urusan daripada BKS sebelum borang permohonan dikeluarkan oleh pihak masjid pada jam 11.15 pagi setelah menerima Daftar kematian asal.

Namun, datuk kepada si mati pula tidak mahu urusan tersebut diambil alih oleh pihak masjid.

“Bapa kepada si mati hanya berjumpa dengan Pembantu Pengurus Masjid Nurul Hidayah pada pukul 10.30 pagi untuk mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang diperlukan bagi membolehkan jenazah dikebumikan di lokasi tersebut.

“Bapa si mati juga telah bersetuju agar pihak masjid yang mengambil alih daripada BKS untuk meneruskan urusan pengebumian jenazah.

“Pihak masjid telah mengeluarkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam tersebut pada pukul 11.15 pagi setelah menerima Daftar Kematian yang asal.

“Pihak masjid juga dimaklumkan bahawa datuk si mati berkeras untuk jenazah diuruskan oleh BKS.

“Mengambil kira kemungkinan berlaku kekecohan di tempat pengurusan jenazah, pihak masjid telah meminta bantuan pihak polis untuk bersama pihak masjid ke tempat pengurusan jenazah,” jelasnya.

Jenazah Didakwa Telah Dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Oleh BKS, Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian Masih Di Pegang Masjid

Terang Mohd Shahzihan, ketika pihak masjid tiba di tempat pengurusan jenazah di Surau An-Nur, Taman Cempaka, mereka telah dimaklumkan bahawa jenazah terbabit telahpun dibawa ke tanah perkuburan Islam oleh pihak BKS.

Sedangkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam dan Daftar Kematian si mati pada ketika itu masih berada dalam pegangan pihak masjid.

“Oleh kerana waris terus membawa jenazah ke tanah perkuburan tanpa kedua-dua dokumen yang sah, urusan pengebumian jenazah tidak dapat diselesaikan sehinggalah pihak masjid dihubungi oleh Pengurusan Tanah Perkuburan Islam, Ukay Perdana yang memaklumkan bahawa jenazah telah berada di liang lahad.

“Pihak masjid kemudiannya telah membawa dokumen yang sah tersebut ke tanah perkuburan untuk membolehkan pengebumian tersebut disempurnakan,” katanya.

JAIS Tegas Dengan Pendirian Pengurusan Jenazah Harus Disegerakan

Pada masa yang sama, Mohd Shahzihan turut menasihatkan masyarakat Islam agar membuat rujukan terus kepada pihak pengurusan kariah masjid masing-masing bagi memastikan urusan berjalan lancar serta mengelakkan kelewatan.

Tegas Mohd Shahzihan lagi, pengurusan jenazah umat Islam haruslah disegerakan dan tidak dilengahkan hanya kerana kepentingan peribadi pihak tertentu.

Wan Cai Dakwa Borang Permohonan & Permit Di Tangan Masjid, Tidak Logik Bapa Palsukan Dokumen

Dalam pada itu, Wan Cai dalam satu kenyataan menyifatkan adalah tidak masuk akal untuk waris memberi borang palsu seperti yang didakwa.

Tegasnya, waris mengesahkan borang permohonan yang diberikan oleh masjid sebelum ini diisi seperti yang diminta.

“Setelah borang tersebut dilengkapkan, ia telah diserahkan semula kepada wakil pihak masjid dihari kejadian. Ini bermakna permit berwarna biru bersama borang permohonan berada dalam tangan pihak masjid.

“Tidak lama kemudian, berlaku pertikaian antara kedua-dua pihak apabila pihak masjid mahu mengambil alih pengurusan jenazah daripada NGO BKS. Mengikut garis panduan, pihak masjid sendiri perlu menyerahkan permit berwarna biru bersama borang permohonan kepada pihak pengurusan tanah perkuburan.

“Secara lojiknya, tiada keperluan untuk waris beri borang palsu seperti yang didakwa. Mana-mana ibu bapa yang kematian anak kesayangan akan berada dalam tertekan dan kebingungan. Mana mungkin si bapa sempat berfikir atau meniru borang permohonan yang hanya ada pada pihak masjid?

“Borang permohonan yang diisi pada hari kejadian, diserahkan terus kepada pihak masjid, ini bermakna borang tersebut berada ditangan pihak masjid,” katanya.

Cadang JAIS dedah ‘borang palsu’ yang dimaksudkan

Dia dalam masa berpendapat adalah lebih baik jika pihak JAIS dapat mendedahkan borang palsu tersebut.

“Cadangan saya adalah lebih baik pihak JAIS dedahkan borang palsu seperti yang didakwa kepada umum.

“Saya juga telah meminta waris membuat laporan polis mengenai tuduhan yang dikeluarkan dalam kenyataan JAIS.

Baca Artikel Berkaitan:

Jenazah Tersadai Di Liang Lahad Lebih 1 Jam, Masjid Didakwa Minta RM1,400 Untuk Pengebumian [Video]
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved