Kes kemalangan babit 14 kenderaan: Ahli perniagaan gaji PTI didenda RM10,000

LocalPolitics
17 Apr 2025 • 12:48 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Cynthia D Baga

Kota Kinabalu: Seorang ahli perniagaan berusia 58 tahun didenda RM10,000 atau dipenjara enam bulan kerana menggaji seorang pemandu lori warga Filipina tanpa dokumen yang memandu secara cuai dan tidak bertimbang rasa sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan 14 kenderaan di luar sebuah sekolah rendah di Putatan.

Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain menjatuhkan hukuman terhadap Chee Nyit Leong yang mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.

Chee menggaji Judin Sapal, 56, yang pada Selasa dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM6,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas kesalahannya tanpa sebarang dokumen yang sah.

Dia didapati melakukan kesalahan itu di Pejabat Trafik Balai Polis Penampang pada 2 Mac tahun ini jam 11.50 pagi.

Kesalahan di bawah Seksyen 55B(1) Akta Imigresen itu memperuntukkan denda antara RM10,000 hingga RM50,000, atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pendatang asing tanpa izin yang terlibat, jika sabit kesalahan.

Semasa mitigasi, peguam Goldam Hamid yang mewakili Chee memohon denda minimum dikenakan tanpa hukuman penjara terhadap Chee dengan alasan anak guamnya mengalami masalah jantung.

Goldam turut memaklumkan mahkamah bahawa ini merupakan kesalahan pertama Chee dan dia telah mengaku bersalah serta memberitahu bahawa Chee menjalankan perniagaan pengangkutan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon hukuman pencegahan dikenakan terhadap Chee.

Mahkamah diberitahu bahawa pada 28 Februari tahun ini, pekerja Chee iaitu Judin telah menyebabkan insiden tersebut dan dibawa ke Balai Polis Penampang untuk tindakan lanjut.

Siasatan mendapati Chee menggaji Judin sejak 2021 dan sehingga hari kejadian, Judin tidak memiliki sebarang dokumen dan telah tinggal lebih masa di negeri ini selama lebih 15 tahun.

Di mahkamah sama, seorang warganegara China dan seorang warga Indonesia masing-masing dipenjara dan denda kerana tinggal melebihi tempoh di negeri ini.

Li Chigang didenda RM10,000 atau penjara enam bulan kerana tinggal di negeri ini selepas pas kerjanya tamat tempoh pada 20 Februari tahun ini dan tinggal lebih masa selama 23 hari.

Dia ditahan jam 5.30 petang pada 15 Mac tahun ini di Kaunter 7 Balai Perlepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini.

Sementara itu, Marten Marni dihukum penjara 12 bulan kerana tinggal lebih masa selama tiga tahun empat bulan selepas Pas Lawatan Kerja Sementaranya tamat tempoh pada 17 Oktober 2021.

Dia ditangkap pada jam 2.15 pagi pada 16 Mac tahun ini di Rich Generation Café milik penuh Rich Generation Sdn Bhd di Pintas Avenue Commercial Centre di Jalan Penampang Bypass, dekat sini.

Selepas menjalani hukuman penjara atau membayar denda, kedua-dua Li dan Marten diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Pegawai Pendakwa Chin Tzee Mee mengendalikan pendakwaan.