Kes kematian doktor pelatih: Lebih 10 individu diambil keterangan

LocalPolitics
9 Mar 2026 • 8:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Yusoff (kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima berkerusi roda. 

KOTA BHARU – Polis sudah mengambil keterangan lebih 10 individu bagi membantu siasatan berhubung kes seorang doktor pelatih yang ditemukan mati di asrama Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Jumaat lalu. 

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kes tersebut masih dalam siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kematian wanita berusia 29 tahun itu. 

“Kami mengambil rekod kenyataan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan wanita itu termasuk ahli keluarga, rakan serta pensyarah.

“Setakat ini lebih 10 individu dirakam percakapan dan semua aspek sedang diteliti untuk mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyampaian Bakul Makanan An’nisa di tapak bazar Ramadan di Lembah Sireh di sini pada Isnin. 

Beliau berkata, siasatan kes itu turut dipindahkan ke peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) bagi memastikan penelitian lebih terperinci dapat dilakukan.

Menurutnya, setakat ini polis tidak menemui sebarang rekod jenayah membabitkan doktor pelatih berkenaan.

“Setakat ini kami masih menyiasat dan belum ada sebarang kes jenayah dikenal pasti. 

“Kami juga meneliti pelbagai maklumat termasuk kemungkinan tekanan termasuk belajar yang mungkin dihadapi,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, siasatan masih diteruskan dan polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.