KUALA LUMPUR – Kertas siasatan kes kematian seorang tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Rabu untuk tindakan lanjut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan.
"Kertas siasatan itu akan diserahkan bersama syor untuk pertimbangan sebelum menunggu arahan serta tindakan lanjut daripada AGC," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Allahyarham Noorizwan Zulkefly, 42, ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras berkaitan kes yang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Pada 30 September lalu, beliau dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras bagi mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.52 pagi, 1 Oktober.
Dalam perkembangan sama, Kumar memaklumkan pemeriksaan doktor dan pengesahan pakar patologi mendapati terdapat kecederaan fizikal yang ketara pada tubuh mangsa.
"Kecederaan fizikal itu bukan akibat perbuatan sendiri, namun punca kematian masih dalam siasatan pihak hospital," katanya.
Kumar turut mengesahkan menerima laporan daripada seorang doktor pakar forensik yang mendakwa diganggu oleh sekumpulan peguam.
"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 189 Kanun Keseksaan.
"Setakat ini, seramai 14 individu termasuk doktor terbabit, tiga peguam dan ahli keluarga mangsa sudah dirakam bagi membantu siasatan," katanya.
Menurutnya, siasatan berhubung laporan kes itu masih berjalan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian.
"Kita masih dalam proses mengambil keterangan beberapa lagi individu," katanya.





