Kes Korupsi Ismail Sabri: Bukti Jelas Bahawa Orang Tua Kita Tidak Layak Dihormati

Opinion
8 Mar 2025 • 9:00 AM MYT
TheRealNehruism
TheRealNehruism

An award-winning Newswav creator, Bebas News columnist & ex-FMT columnist.

image is not available
Kredit Imej: World of Buzz

Hakikat bahawa bekas Perdana Menteri kita, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah menjadi perdana Menteri kelima daripada enam perdana Menteri kita yang masih hidup, yang sedang disiasat pihak berkuasa atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram adalah petanda jelas bahawa kebanyakan orang tua kita, terutamanya mereka yang telah mencapai kejayaan pada masa lalu, sebenarnya tidak layak dihormati.

Kebanyakan kita cenderung percaya bahawa Malaysia telah di rasuk rasuah, kronisme, kleptokrasi nepotismebdan pelbagai lagi kerosakan akhlak yang lain bermula dari pemerintahan 22 tahun Tun Mahathir.

Jika kita mempercayainya, maka secara logik, kita juga harus percaya bahawa majoriti individu yang mencapai kejayaan dan mendapat kedudukan tinggi dalam era Mahathir mestilah telah mencapainya melalui rasuah, kleptokrasi, nepotisme dan kronisme.

Ini adalah satu satunya logik yang dapat menjelaskan realiti kita pada hari in.

Jika kita berpendapat bahawa mereka yang berjaya dalam generasi terdahulu memang layak mencapai kejayaan mereka, maka kita tidak boleh menganggap pemerintahan Mahathir sebagai dipenuhi dengan rasuah dan kerosakan akhlak yang lain. Jika kita menganggap pemerintahan Mahathir dipenuhi dengan rasuah dan kerosakan akhlak, maka kita juga perlu mengakui bahawa majoriti mereka yang berjaya dalam era Mahathir sebenarnya tidak layak mengecapi kejayaan mereka – mereka berjaya hanya kerana rasuah, nepotisme, kronisme atau kleptokrasi.

Hakikat bahawa kebanyakan individu yang berjaya dalam era Mahathir kini berusia lewat 60-an, 70-an atau 80-an, dan seharusnya dianggap sebagai golongan tua yang layak dihormati, adalah tidak relevan.

Sebetulnya, penghormatan hanya wajar diberikan kepada seseorang berdasarkan kepercayaan dan amalan mereka.

Jika seseorang itu berpegang teguh pada maruah, mempunyai rekod integriti yang kukuh walaupun dalam dihimpit keadaan yang sulit dan terdesak, dan tidak akan berbohong walau pun untuk segunung emas sekali pun, maka mereka layak dihormati – walaupun masih muda.

Sebaliknya, jika seseorang sanggup menggadaikan kepercayaan dan pegangannya demi wang ringgit, sanggup menjatuhkan maruah sendiri demi mengejar pangkat, dan seorang pembohong tegar yang sudah tidak dapat membezakan antara kebenaran dan kepalsuan lagi, mereka tidak layak dihormati, walaupun berusia 100 tahun.

Bukti bahawa golongan tua kita tidak layak dihormati, dikagumi atau dijadikan teladan adalah terlalu jelas untuk diabaikan.

Hakikat bahawa lima daripada enam perdana menteri hidup telah terpalit atau disyaki terlibat dalam salah laku adalah bukti kukuh bahawa golongan tua kita, terutamanya mereka yang berjaya, tidak layak dijadikan contoh atau dihormati.

Jika di peringkat tertinggi pun, rekod orang lama kita begitu buruk, maka kerosakan akhlak dalam negara kita mungkin begitu mendalam sehingga kemungkinan besar setiap individu daripada generasi terdahulu yang mencapai kedudukan tinggi, memiliki kekayaan besar, atau dianggap berjaya, adalah seseorang yang melakukannya melalui rasuah, nepotisme, kronisme atau kleptokrasi.

Kita perlu sedar bahawa kita akan menjadi seperti individu yang kita hormati dan kagumi.

Jika kita terus menghormati individu yang mencapai kejayaan dalam era yang penuh dengan rasuah, nepotisme dan kronisme, semata-mata kerana mereka kini sudah tua, kita tidak akan membersihkan diri kita daripada kerosakan akhlak dan kejahilan yang telah menimpa generasi sebelum, walaupun seribu tahun berlalu.

Bagi mengelakkan diri kita daripada terpengaruh dengan kejahilan dan kerosakan akhlak yang sama seperti generasi terdahulu, sebagai langkah pencegahan, kita harus mula menghalang golongan tua – terutamanya mereka yang pernah memegang jawatan tinggi atau mengumpul kuasa dan kekayaan besar – daripada mempengaruhi kita, dengan memberi mereka peluang untuk bercakap di mana-mana forum, podcast atau majlis.

Sebaliknya, kita perlu meminta mereka membuktikan bahawa mereka tidak mencapai kedudukan mereka melalui kronisme, kleptokrasi, rasuah atau nepotisme. Bukti yang mereka berikan perlu diperiksa dengan teliti, kerana realiti jelas menunjukkan bahawa majoriti golongan tua yang berjaya pada masa lalu sebenarnya tidak layak mengecapi kejayaan mereka.

Jika golongan tua kita tidak dapat membuktikan bahawa mereka layak mengecapi kejayaan mereka atau jika mereka tidak yakin bahawa mereka boleh membuktikannya, maka kita perlu mula mendesak mereka untuk menghilangkan diri dari pandangan umum. Secara default, kita sepatutnya melihat kejayaan mereka sebagai hasil daripada kerosakan akhlak dan korupsi, yang sebaiknya kita kecam dan bukan hormati.

Bahawa seseorang itu layak mengecapi kejayaan dan pencapaiannya bukanlah sesuatu yang sukar untuk dibuktikan. Kehidupan seseorang yang berintegriti itu sendiri adalah bukti integritinya. Jika seseorang telah menghabiskan hidupnya untuk mengumpul ilmu atau kepakaran, ia boleh dilihat secara langsung melalui kebolehan dan pengetahuannya, dan ia tidak akan takut di uji atau di periksa.

Jika golongan tua kita tidak dapat membuktikannya, atau jika mereka tidak mahu pencapaian dan sejarah hidup mereka diteliti, maka besar kemungkinan kejayaan mereka adalah tidak kejayaan dan pencapaian yang palsu, yang hanya mereka kecapi kerana mengikuti jalan yang salah.

Kita tidak bersalah sekiranya kita enggan menghormati orang tua kita, sekiranya generasi sebelum ini mempunyai “track record” yang begitu buruk, sehingga menyebabkan negara terpalit dengan kerosakan akhlak dan korupsi yang teruk, di bawah kepimpinan dan pengurusan mereka.

Mereka sendiri sepatutnya menyedari hakikat ini dan berusaha untuk memulihkan imej mereka, dan bukannya mengharapkan kita terus hidup dalam kepalsuan dan tanpa segan silu mengharapkan kita untuk terus menghormati mereka, sedangkan hakikatnya jelas bahawa kebanyakan mereka mungkin tidak layak menerima penghormatan yang mereka harapkan daripada kita.


TheRealNehruism adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.