Kes langgar sampai mati wajar dituduh membunuh tanpa niat - Peguam

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 8:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kes kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal yang terpelanting selepas dilanggar kereta jenis Honda City di Klang
image is not available
Peguam, M Partiben

KUALA LUMPUR – Suspek yang memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, wajar disiasat mengikut Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat berbanding Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Peguam, M Partiben berkata, Seksyen 300(d) berkenaan mentakrifkan perbuatan membunuh apabila seseorang melakukan tindakan yang diketahui amat berbahaya dan berkemungkinan besar menyebabkan kematian.

**media[3476466]**

Sementara Seksyen 44(1) itu katanya, melibatkan kes menyebabkan kematian akibat memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Menyentuh kes kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal yang terpelanting selepas dilanggar kereta jenis Honda City di Klang, beliau berkata, kesalahan itu masih boleh disabitkan walaupun individu terbabit tidak mempunyai niat khusus untuk membunuh mangsa.

“Elemen utama Seksyen 300(d) ialah tertuduh mengetahui bahawa tindakannya sangat berbahaya dan berisiko tinggi sehingga boleh meragut nyawa.

“Peruntukan tersebut juga sering digunakan dalam kes seperti melepaskan tembakan secara melulu ke arah orang ramai.

“Kebiasaannya, kes seperti ini dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara serta sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Berbanding Seksyen 44(1), peguam itu berkata, peruntukan hukuman hanya membabitkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, Partiben mencadangkan beberapa langkah memperketat penguatkuasaan undang-undang perlu dibuat agar kejadian serupa dapat dielakkan.

Katanya, ia termasuk mengenakan denda sehingga RM150,000 dan hukuman penjara sehingga 20 tahun melibatkan kes tertentu.

Selain beliau berkata, perintah menggantung lesen memandu sehingga 10 tahun berbanding lima tahun ketika ini, diharap dapat menghalang pesalah mengulangi kesalahan sama.

Beliau turut mencadangkan, kerajaan mempertingkatjan penggunaan teknologi pengujian yang lebih canggih, dalam memastikan ketepatan keputusan serta mengelakkan sebarang manipulasi.

“Ujian darah juga boleh dipertimbangkan walaupun ia lebih invasif, namun perlu dilaksanakan dengan prosedur yang jelas,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan pengawasan melalui kamera litar tertutup (CCTV) serta pelaksanaan sistem demerit juga dilihat mampu membantu pihak berkuasa mengesan dan memantau pesalah berulang.

Pada Ahad, seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dipandu individu dipercayai berada bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, Klang, pads jam 11.40 pagi.

Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an, dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum melanggar motosikal mangsa.

Akibat pelanggaran itu, mangsa, lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Justeru, seorang lelaki ditahan dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

View Original Article