Kes lebih muatan: Mahkamah Tinggi kekal perintah lucut hak lori balak

LocalPolitics
4 May 2026 • 8:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes lebih muatan: Mahkamah Tinggi kekal perintah lucut hak lori balak
Lori balak yang terlibat dalam kes pertama pelucuthakan kenderaan melalui perbicaraan penuh di Terengganu.

​KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu melakar sejarah tersendiri apabila Mahkamah Tinggi Terengganu mengekalkan sabitan dan hukuman lucut hak ke atas sebuah lori milik sebuah syarikat ekoran kesalahan membawa lebih muatan.

​Pengarah JPJ Negeri, Zamri Samion berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah menolak rayuan syarikat berkenaan, sekali gus mengekalkan keputusan asal Mahkamah Majistret Kuala Berang.

​Menurutnya, sebelum ini pihak syarikat telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM11,000 serta Perintah Lucut Hak kenderaan kepada Ketua Pengarah JPJ Malaysia.

​"Kes ini melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 57(1)(a) dan (b)(vi) yang dibaca bersama Seksyen 80(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).

​"Syarikat terbabit didapati melanggar Syarat Lesen Pengendali apabila membawa muatan balak dengan lebihan berat mencecah 95.88 peratus daripada had yang dibenarkan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

​Beliau menjelaskan, perbicaraan kes tersebut telah memakan masa selama setahun bermula September 2024 hingga September 2025 dengan melibatkan keterangan daripada sembilan orang saksi.

​Mengulas lanjut, Zamri berkata, keputusan tersebut merupakan kes pertama dalam sejarah JPJ Terengganu yang melalui proses perbicaraan penuh sehingga ke peringkat Mahkamah Tinggi dan berjaya mengekalkan perintah pelucuthakan kenderaan.

​Beliau berkata, keputusan itu dijangka memberi impak besar kepada industri pengangkutan komersial, terutama dalam mengubah persepsi negatif sesetengah pihak terhadap undang-undang jalan raya.

​"Kita mahu ubah persepsi bahawa kesalahan lebih muatan ini bukan sekadar 'kos operasi' biasa yang boleh dibayar dengan denda sahaja.

​"Tindakan pelucuthakan aset fizikal ini membuktikan bahawa pelanggaran serius boleh mengakibatkan syarikat kehilangan terus aset mereka, sekali gus menjadi langkah pencegahan yang lebih berkesan,"ujar beliau.

​Dalam pada itu, JPJ menegaskan bahawa penguatkuasaan terhadap kesalahan lebih muatan akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa.

Katanya, ​langkah itu penting bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya serta mengelakkan kerosakan berterusan terhadap infrastruktur awam yang menelan kos baik pulih yang tinggi.

​"Semua pengendali kenderaan komersial diingatkan agar sentiasa mematuhi had muatan yang ditetapkan bagi mengelak tindakan tegas, termasuk berdepan risiko kehilangan hak milik kenderaan mereka," katanya lagi.

 

View Original Article