Kes pegawai polis langgar pelajar, mahkamah tolak permohonan ikat jamin

LocalPolitics
5 Sep 2024 • 2:56 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Mahkamah Tinggi Ipoh menolak permohonan seorang pegawai kanan polis untuk dibebaskan dengan jaminan atas dakwaan membunuh pelajar lelaki Tingkatan Lima berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh pada Disember tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dengan pangkat Deputi Superintendan sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohd Nazri Abdul Razak, didakwa menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet berkata, tiada alasan luar biasa untuk membenarkan permohonan jaminan itu.

Menurutnya, berdasarkan daripada naratif dikemukakan pihak pendakwaaan, terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa adanya kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah berpuas hati pada tahap ini, mahkamah tidak diperlukan untuk meneliti secara detail (terperinci). Mahkamah sudah tetapkan tarikh perbicaraan awal,” katanya.

Terdahulu, Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Dis tahun lepas.

Sumber: Harian Metro