
KUALA LUMPUR - Polis menahan dua lagi suspek berhubung kes penemuan mayat seorang wanita berusia 19 tahun dengan 61 kesan tikaman berhampiran sawah di Kampung Simah, Ketereh, awal pagi semalam, menjadikan keseluruhan empat suspek ditahan setakat ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu bermula jam 4.40 petang semalam hingga 2.30 pagi tadi.
“Hasil serbuan, polis menahan tiga lelaki berusia antara 19 hingga 66 tahun dan seorang wanita berusia 60 tahun.
Kesemua tangkapan didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing menunjukkan kesemuanya negatif dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam operasi itu, polis turut merampas sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian, selain dua kereta, dua telefon bimbit, satu set pakaian, sepasang selipar dan empat unit pelapik kaki.
Mohd Yusoff berkata permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Kota Bharu, manakala siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan,” katanya.
Mengenai penemuan mayat, beliau berkata pihaknya menerima maklumat pada jam 12.35 tengah malam (1 Mei) sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan lanjut.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan pada 9.30 pagi semalam mendapati punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan tikaman berganda di bahagian dada,” katanya.
Semalam, mayat mangsa yang merupakan penuntut sebuah kolej ditemukan di atas jalan berhampiran sawah Kampung Simah dengan 61 kesan tikaman.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di kawasan terbabit. - 2 Mei, 2026
The post Kes pelajar ditikam 61 kali: Wanita 60 tahun antara 4 suspek ditahan appeared first on Scoop.






