Kes Pelajar Form 4 Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Ambil Wuduk: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

LocalFamily & Parenting
8 May 2026 • 11:46 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Kes Pelajar Form 4 Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Ambil Wuduk: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (7 Mei), media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Empat, Fahrin Jumarudy Abdullah maut, manakala seorang pelajar Tingkatan Tiga pula parah selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mahu mengambil wuduk di sebuah sekolah menengah di Sibu, Sarawak.

Kejadian yang berlaku pada 6 Mei 2026 ini melibatkan tiga orang pelajar lelaki yang pada itu berada di kawasan mengambil wuduk.

Menurut Ketua Polis Daerah Matu Daro, Deputi Superintendan Rahim Mihos, pihaknya mendapat makluman daripada pihak sekolah kira-kira jam 8 malam berhubung kejadian itu.

Pegawai perubatan mengesahkan mangsa berusia 16 tahun terbabit meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang Lagi Pelajar Tak Alami Kecederaan

Menurut Rahim, rakan mangsa berusia 15 tahun yang mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke Hospital Daro sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sibu, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Manakala seorang lagi pelajar 15 tahun yang turut berada di lokasi sama tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bekalan Eletrik Di Lokasi Kejadian Diputuskan

Susulan insiden ini, pihak Sarawak Energy telah dimaklumkan supaya memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan tempat kejadian berada dalam keadaan selamat.

Tambah pihak polis, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut, dan kes masih dalam siasatan.

JPN Sarawak Mulakan Siasatan, Telititi Aspek Keselamatan Sekolah

Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak telah pun memulakan siasatan dalaman berhubung kes terbabit bagi meneliti pematuhan aspek keselamatan di sekolah menengah itu.

Buat masa ini, lokasi kejadian ditutup bagi mengelakkan insiden buruk berlaku.

“Pelajar, guru dan seluruh warga sekolah tidak dibenarkan menghampiri kawasan kejadian sehingga keadaan disahkan benar-benar selamat,” kata JPN Sarawak menerusi satu kenyataan.

Tambah JPN Sarawak, tumpuan kini difokuskan untuk memberi bantuan terbaik kepada keluarga Allahyarham Fahrin Jumandy, selain memastikan kebajikan seorang lagi pelajar yang sedang mendapat rawatan di hospital.

Sekolah Anjur Majlis Bacaan Yassin Buat Arwah Fahrin Jumarudy

Meskipun tiada pelaporan mengenai nama sekolah terlibat, namun sebuah sekolah di Sibu, SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Normah dilihat memuat naik hantaran takziah kepada keluarga Allahyarham Fahrin Jumarudy di atas pemergiannya.

Malah semalam (7 Mei), SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Normah menerusi hantaran di media sosial telah berkongsi foto majlis bacaan Yassin dan tahlil bagi mendoakan kesejahteraan Allahyarham Fahrin Jumarudy.

“Semoga setiap doa yang dipanjatkan menjadi asbab rahmat dan keampunan buat arwah, serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah,” kata pengendali akaun Facebook sekolah terbabit.