Kes Pelajar Wanita Maut Ditikam 61 Kali: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

Local
4 May 2026 • 5:38 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Kes Pelajar Wanita Maut Ditikam 61 Kali: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak hujung minggu lalu, kecoh di media sosial mengenai kes menyayat hati membabitkan seorang pelajar wanita berusia 19 tahun, Nurfisya Zulkifly yang maut ditikam sehingga 61 kali di Ketereh, Kota Bharu, Kelantan.

Menurut laporan polis, mayat penuntut wanita dari Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah di atas jalan di Kampung Kubang Kiat, Ketereh jam 12.30 tengah malam (1 Mei) dengan beberapa kesan kecederaan akibat ditikam di perut, belakang badan dan muka.

Pada awalnya, mangsa disangka sedang tidur atas jalan sebelum disedari sudah meninggal dunia. Orang ramai di tempat kejadian kemudiannya dengan segera menghubungi pihak polis.

Punca Kematian: Kecederaan Tikaman Berganda Pada Dada

Sejurus itu, mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk proses bedah siasat dan mengesahkan waris.

Jelas Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat, siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Perak dan dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayat diletakkan di kawasan sawah tersebut.

Mangsa dilaporkan ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihak polis berjaya mengenal pasti mangsa berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Hasil bedah siasat dijalankan mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan tikaman berganda pada bahagian dada.

Image from: Kes Pelajar Wanita Maut Ditikam 61 Kali: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini
Foto: Datuk Mohd Yusoff Mamat

Dua Remaja Lelaki & Pasangan Warga Emas Ditahan Reman

Pada hari sama (1 Mei), sepasukan polis telah menjalankan serbuan di dua lokasi berasingan iaitu di Taman Murni di Jalan Abdul Kadir Adabi, Kota Bharu dan Kampung Belukar Luas, Ketereh.

Susulan serbuan itu, dua remaja lelaki ditangkap dan direman tujuh hari manakala dua warga emas termasuk seorang wanita direman tiga hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan terbabit.

Memetik Astro Awani, perintah reman terhadap dua lelaki berusia 19 tahun, warga emas lelaki 66 tahun dan wanita 60 tahun itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid di Mahkamah Majistret Kota Bharu bermula 2 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil saringan ujian air kencing adalah negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

Polis juga merampas dua kereta, dua telefon bimbit, satu set pakaian, sepasang selipar, empat unit pelapik kaki. Sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut ditemui.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Mangsa Baru Dihantar Ke Kolej Untuk Semester Baru

Menurut abang mangsa, Mohd Faris Zulkifly, 21, Nurfisya baharu sahaja dihantar ke kolej pada Sabtu (25 Mei) untuk menyambung semester baharu tetapi akhirnya menerima berita kehilangan yang sangat memilukan.

Ini bermakna Allyarhamah Nurfisya baru seminggu berjauhan dari keluarga.

Tambahnya, dia bersama ahli keluarga yang lain berharap agar pelaku dapat ditangkap secepat mungkin dan dihukum setimpal atas perbuatannya.

Sementara itu, jenazah mangsa telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Periang, Karai, Kuala Kangsar, Perak sekitar jam 5.30 pagi, 2 Mei.

Dakwaan Penuntut KPTM Ditikam Sebanyak 105 Kali Adalah Palsu

Meskipun kes masih dalam siasatan, namun timbul pula dakwaan di media sosial yang mengatakan mangsa ditikam 105 kali.

Bagaimanapun tegas Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri, perkara tersebut adalah tidak tepat. Jumlah sebenar berdasarkan hasil bedah siasat adalah 61 kesan tikaman sahaja, tidak termasuk kesan luka calar.

Image from: Kes Pelajar Wanita Maut Ditikam 61 Kali: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini
Foto: Ahli keluarga bersama gambar Allahyarham Nurfisya

Motif Sebenar Belum Diketahui, Cemburu Dipercayai Punca Pembunuhan

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa motif sebenar insiden masih belum dikenal pasti dan siasatan terhadap kesemua suspek sedang giat dijalankan.

Namun dedah Mohd Yusoff, pihaknya mengesyaki mangsa ditikam sehingga mati oleh kenalan lelakinya yang juga berusia 19 tahun, selepas berlaku salah faham dan akibat cemburu.

“Polis percaya cemburu adalah motif pembunuhan mangsa, siasatan awal menunjukkan berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek yang membawa kepada kematiannya. Dia dipercayai ditikam ketika berada di dalam kereta suspek,” kata beliau kepada New Straits Times.

KPTM Digesa Teliti Semula Aspek Keselamatan Pelajar

Mengambil serius kejadian ini, KPTM Sdn Bhd digesa untuk meneliti semula aspek keselamatan dan kebajikan di bawah institusi terbabit bagi mengelakkan tragedi jenayah yang sama berulang.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebarang kekurangan dalam aspek keselamatan dan kebajikan perlu dikenal pasti serta ditambahbaik bagi menjamin kesejahteraan para pelajar.

Image from: Kes Pelajar Wanita Maut Ditikam 61 Kali: Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini
Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Pasangan Warga Emas Dibebas Jaminan Polis

Dalam perkembangan terbaharu, pasangan warga emas yang ditahan reman berhubung kematian Nurfisya, dibebaskan dengan jaminan polis semalam (3 Mei).

Difahamkan, warga emas yang juga pasangan suami isteri itu merupakan ibu bapa kepada suspek remaja lelaki berusia 19 tahun.

Jelas Mohd Azmir, pihak polis kini memfokuskan siasatan terhadap dua remaja berkenaan.

Bapa Suspek Bukan Pegawai Kanan Polis

Hari ini (4 Mei), polis menafikan bahawa bapa salah seorang suspek yang didakwa menyebabkan kematian merupakan pegawai kanan polis berpangkat tinggi.

Jelas Mohd Azmir perkara itu adalah tidak benar dan merupakan andaian netizen semata-mata.

View Original Article