
Kota Kinabalu: Seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 10 anggota penjara yang didakwa membunuh seorang banduan di Penjara Kepayan empat tahun lalu, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa banduan itu tidak mempunyai nadi dan tidak bernafas, ketika dia (saksi) memeriksa nadinya di Klinik Penjara Pusat Kota Kinabalu pada 4 Okt 2019.
Saksi ke-10 pendakwaan Mohd Azlan Mohd Rani, seorang pembantu perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Semporna memberitahu Hakim Datuk Christopher Chin bahawa dia bertugas sebagai pembantu perubatan di klinik Penjara Pusat Kota Kinabalu dari Julai 2013 hingga April 2022.
Azlan pada Rabu menyatakan dalam keterangan saksinya bahawa pada jam 3 petang 4 Okt 2019 dia mendapat laporan bahawa Shainal pengsan di dalam selnya dan melihat Shainal dibawa menggunakan kerusi roda dan ditolak oleh seorang banduan, dan dia melihat Shainal tidak sedarkan diri dan dibawa ke bilik rawatan.
Azlan menyatakan Shainal kemudiannya dibaringkan atas katil rawatan dan dia memeriksa nadinya dan mendapati nadi Shainal sudah tiada dan dia tidak bernafas.
SPONSORED CONTENT Firefly’s inaugural flight to Sandakan SANDAKAN: Firefly, the low-cost carrier subsidiary of Malaysia Airlines; made its inaugural flight from Kota Kinabalu to Sandakan on Tuesday. Read more Tambah Azlan, apabila rakan sekerjanya, pembantu perubatan Mohd Azhahari membuka mulut Shainal untuk memasukkan beg Ambu, dia ternampak sekeping roti di dalam mulut Shainal.
Azlan berkata, dia kemudian melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas Shainal dan kepingan roti itu keluar dari mulutnya.
Saksi menyatakan bahawa dia melihat Shainal mengalami lebam di mata kanan, luka di pipi kiri dan kedua-dua tangan dan kaki kelihatan biru, mungkin kerana kekurangan oksigen.
Tambahnya, Shainal tidak pernah mendapatkan rawatan di klinik penjara berkenaan kecederaan pada mata dan pipinya itu.
Azlan menyatakan, ketika melakukan CPR pada jam 3.05 petang, dia ada meminta Sarjan Mahat menghubungi ambulans tetapi dimaklumkan seorang pegawai penjara tidak mahu menghubungi ambulans.
Saksi itu juga menyatakan bahawa dia dan rakan sekerjanya serta seorang pemandu, pegawai penjara dan warden penjara kemudian menghantar Shainal ke Hospital Queen Elizabeth dengan kenderaan penjara.
Terdahulu, Azlan menyatakan bahawa pada jam 3.30 petang 2 Okt 2019 ketika bertugas di klinik penjara, dia mendapat tahu seorang banduan iaitu Shainal Mukhtar telah dimasukkan ke klinik dan ketika di klinik, Shainal membuat bising dengan menggoncang pintu besi sambil menjerit “tembakau”, dan dia melihat Shainal dari jarak 10 hingga 15 meter.
Saksi itu menyatakan dia kemudiannya mengisi borang untuk mengeluarkan Shainal dari sel klinik penjara kerana membuat bising dan pada jam 4.10 petang hari yang sama, dia melihat Shainal di ruang menunggu klinik, sambil menambah bahawa dia tidak perasan jika Shainal mempunyai sebarang luka atau lebam di badannya semasa berada di klinik kerana dia tidak memeriksa Shainal dan hanya doktor yang akan memeriksa pesakit banduan yang baru masuk.
Apabila ditanya pihak pendakwaan mengenai keadaan Shainal ketika berada di klinik penjara, Azlan berkata banduan di sel lain mengadu Shainal sentiasa mengganggu banduan lain dan membuat bising.
Menjawab soalan, saksi berkata dia hanya tahu pada hari berikutnya bahawa Shainal ditempatkan di Blok Gemilang.
Kepada soalan lain, Azlan berkata sebelum 2 Okt 2019, Shainal mempunyai masalah kesihatan lain dan menerima rawatan biasa seperti untuk demam, batuk dan selesema.
Membacakan rekod kesihatan Shainal daripada kad perubatan Shainal dari klinik penjara, Azlan berkata Shainal menerima rawatan terhadap bibirnya pada 7 Mei 2018, demam pada 2 Jan 2019, alahan pada 23 Jan 2019, alahan pada 15 Mei 2019, jangkitan mata pada 30 Mei 2019, mengalami kecederaan akibat membuat bising dan menggoncang pintu dan telah diasingkan ke Blok Gemilang pada 2 Okt 2019, dan pada 4 Okt 2019 dia dibawa masuk kerana tidak sedarkan diri.
Dibicarakan adalah inspektor penjara Dzulfikri Mohd Safri, 28, dan warden Barry Jipmon, 30, Farizan Mokri, 40, Mohd Saiful Saidin, 34, Amran Yasik, 25, Ab Mutalib @ Talib Abd Rasul, 40, Zerry Maidin, 33, Tomy Momoh , 36, Shahryll Nazry Wan Sofian, 25, dan Muhammad Fazi Lakui, 32.
Mereka semua dituduh bersama membunuh Shainal Mukhtar, 36, di sel nombor 11, Blok Gemilang, di Penjara Pusat Kota Kinabalu, Jalan Kepayan dekat sini pada 4.20 petang, antara 2 Okt dan 4 Okt 2019.
10 tertuduh pada 24 Ogos 2020 meminta dibicarakan terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, saksi kesembilan pendakwaan, pegawai perubatan Mohammad Aiman Mohd Mahdi, memberitahu mahkamah bahawa diagnosis akhir ringkasnya terhadap Shainal sebelum banduan itu diberi discaj adalah kecederaan trauma ringan dengan pendarahan subdural fontanel kiri pada 2 Okt 2019.
Aiman, yang kini bertugas di Jabatan Neurosurgeri Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah memberi keterangan bahawa sebelum itu dia berkhidmat di Jabatan Neurosurgeri Hospital Queen Elizabeth 1 di sini dari 2018 hingga 2021.
Aiman memberi keterangan bahawa pada 2 Okt 2019, dia mengeluarkan nota discaj kepada pesakit bernama Shainal Mukhtar.
Saksi itu berkata, dia mengisi butiran di dalam nota discaj berdasarkan nota kes pesakit, dan dia diarahkan berbuat demikian seperti yang diarahkan oleh doktor neurosurgeri yang bertugas pada masa itu, Dr Ananda yang juga pegawai atasannya.
Aiman menambah, bukan dia yang merawat Shainal.
Saksi itu membacakan butiran dalam nota discaj bahawa pesakit dibenarkan balik dan membuat janji temu dengan klinik neurosurgeri dalam tempoh sebulan dan juga menggalakkan pengambilan cecair.
Aiman menerangkan secara ringkas diagnosis akhir ke atas Shainal sebagai kecederaan otak traumatik ringan dengan pendarahan subdural fontanel kiri.
Pengarah Pendakwaan Sabah Muhammad Ilmami Ahmad bersama Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip, Nur Faezah Jafry dan Mas Izzaty Lokman hadir untuk pendakwaan.
Peguam PJ Perira dan Dominic Chew mewakili Dzulfikri, Farizan, Saiful, Mutalib dan Zerry, manakala peguam Hairul Vaiyron Othman mewakili Barry, Amran, Tommy, Shahryll dan Fazi.
Perbicaraan bersambung.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
