Kes Penipuan Pakej Perlancongan: Kim Seri Dakwa Berdepan Hukuman Penjara Di Korea Selatan

LocalTravel
13 Dec 2025 • 5:57 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

SEOUL, KOREA SELATAN – Tular di media sosial satu status dimuat naik oleh pempengaruh dan usahawan Malaysia, @kimseri_eina, yang mendakwa dirinya bakal berdepan hukuman penjara di Korea Selatan susulan kes penipuan pakej perlancongan.

Menerusi perkongsian tersebut, Kim Seri memaklumkan bahawa kes berkenaan telah dibawa ke mahkamah selepas beliau berdepan kesukaran untuk membuat pembayaran balik wang kepada mangsa yang terlibat.

Antara kenyataan yang dikongsikan beliau ialah:

“Lepas ni turn sis pulak masuk penjara Korea kan.”

“Jadi kes saya sekarang telah dibawa ke mahkamah untuk ditentukan berapa lama hukuman di dalam penjara Korea.”

Kes Penipuan Pakej Perlancongan Kim Seri Ke Korea Selatan

Kim Seri sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas didakwa terlibat dalam penipuan pakej perlancongan ke Korea Selatan yang diusahakan oleh beliau. Beberapa individu tampil mendakwa menjadi mangsa dan mengalami kerugian kewangan.

Beliau turut pernah membuat permohonan maaf secara terbuka serta berjanji untuk memulangkan semula wang kepada mangsa selewat-lewatnya pada 1 Februari 2025. Namun begitu, sehingga kini, sebahagian mangsa didakwa masih belum menerima bayaran seperti yang dijanjikan.

Situasi itu mendorong warganet serta mangsa terlibat mendesak agar siasatan dan tindakan undang-undang diambil terhadap Kim Seri.

Menurut satu komen yang tular, seorang pengguna akaun @norseriazlina mendakwa Kim Seri turut menipu pakej perlancongan melibatkan sebuah syarikat dengan nilai kerugian sekitar RM330,000, membabitkan kira-kira 70 orang kakitangan yang telah membuat bayaran penuh.

Difahamkan, pemilik syarikat tersebut pernah ke Korea Selatan bagi menemui Kim Seri, namun usaha tersebut gagal. Susulan itu, pihak syarikat dan kakitangan terlibat mengambil tindakan undang-undang melalui peguam yang dilantik di Korea Selatan.

@norseriazlina yang mendakwa dirinya bekas kakak ipar Kim Seri turut menyatakan bahawa pendakwaan dibuat berdasarkan bukti perbualan mesej, panggilan video serta rekod pemindahan wang yang beralamat di Korea Selatan.

Reaksi Warganet

Meninjau ruangan komen, terdapat segelintir warganet yang masih memberikan kata-kata semangat kepada Kim Seri agar tabah menghadapi ujian tersebut. Malah, Kim Seri turut memuat naik satu status yang mendapat sokongan daripada pengikutnya:

“May the worst place become the greatest teacher and I will become a better person. Aamin.”

Namun begitu, tidak kurang juga warganet yang bersetuju tindakan tegas dikenakan terhadap beliau. Antaranya, seorang pengguna menulis:

“Semoga cepat-cepatlah masuk lokap tu,” seloroh @mayyyyyy.j

Sementara itu, @miezazara_90 turut menyuarakan pandangan:

“Itulah pasal… tak sabar nak tunggu kesudahan kisah scammer ni.”

Secara keseluruhan, warganet berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera dan keadilan dapat ditegakkan demi membela nasib mangsa yang terlibat.

Jika melakukan kesalahan, seseorang perlu bersedia untuk bertanggungjawab dan menjadikan ia sebagai pengajaran untuk berubah ke arah yang lebih baik pada masa hadapan. – The Malaysian Update

The post Kes Penipuan Pakej Perlancongan: Kim Seri Dakwa Berdepan Hukuman Penjara Di Korea Selatan appeared first on The Malaysian Update.