
TAWAU: Polis memburu seorang suspek disyaki terbabit dalam kes pukau seorang lelaki melibatkan kerugian bernilai hampir RM30,000 pada 29 Mac lepas.
Polis mengedarkan dua gambar individu terbabit pada Sabtu, yang menunjukkan suspek memakai jam tangan, berbaju kemeja biru muda, berseluar panjang, bersongkok hitam jalur kuning, berkaca mata dan bersandal hitam.
Ketua Polis Daerah ACP Jasmin Hussin berkata suspek yang dikehendaki polis berkenaan dipercayai melakukan perbuatan itu di kawasan premis kedai 24 jam, Jalan Haji Karim, Fajar.
“Polis menjalankan siasatan terhadap suspek dan kes ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (kerana jenayah mencuri),” katanya dalam kenyataan.
Jasmin berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek atau mengecam pakaian yang dikenakannya, diminta untuk menghubungi talian hotline Polis Tawau 089772121.
Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat bertugas, Sarjan Azman Shah Nuhi di 013 8988920 atau menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular perkongsian anak mangsa di media sosial yang mengatakan bapanya dipukau tiga individu termasuk suspek dalam gambar, namun dua lagi rakan suspek belum diketahui.

