SUNGAI PETANI - Polis mengesahkan tiada tangkapan dibuat setakat ini berhubung suspek memukul isteri dalam kejadian di Ambangan Heights, namun siasatan lanjut mengenainya sedang giat dijalankan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, polis sedang mengesan keberadaan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan kes terbabit.
"Tiada tangkapan," katanya ringkas.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita cedera di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul suaminya sehingga mengalami keguguran.
Susulan itu, laporan polis dibuat oleh keluarga mangsa bagi mengesan lelaki berusia 43 tahun itu dan menggesa agar siasatan lanjut dijalankan.
Kejadian dipercayai tercetus apabila mangsa yang juga penjawat awam dikatakan bertengkar dengan suaminya, menyebabkan dia dipukul dengan teruk menggunakan penyangkut baju, getah paip dan batang besi langsir serta batang penyapu sehingga patah.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan dan jari kiri patah, lebam di muka selain kecederaan di bahagian perut.



