Kes rasuah berkaitan REE: Bekas Setiausaha Politik MB Kedah diperintah bela diri

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 6:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes rasuah berkaitan REE: Bekas Setiausaha Politik MB Kedah diperintah bela diri
Mahkamah Sesyen memerintahkan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab membela diri atas pertuduhan meminta dan menerima suapan berkaitan projek perlombongan REE di negeri itu, tiga tahun lepas.

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Mohamad Hilmi Abdul Wahab membela diri atas pertuduhan meminta dan menerima suapan berkaitan projek perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu, tiga tahun lepas.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohamad Hilmi, 53.

"Oleh itu, tertuduh diperintah untuk membela diri,” katanya yang kemudian menetapkan empat hari bermula 9 Okt ini bagi prosiding bela diri.

Pada 20 November 2023, Mohamad Hilmi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta suapan wang tunai berjumlah RM250,000 daripada Pengarah Syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd Liana Mamat @ Khalid, 43, melalui Syed Muhammad Syid Aluvi, 37.

Ia sebagai dorongan bagi tertuduh, yang ketika itu Setiausaha Politik Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, membantu syarikat berkenaan mendapatkan kelulusan berkaitan permohonan Lesen Perlombongan dan Lesen Penjelajahan REE di sekitar Kedah.

Mohamad Hilmi didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Sunway Kiara Hills, Taman Sri Hartamas di sini pada 4 Julai 2023.

Beliau juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan menerima suapan wang tunai berjumlah RM150,000 daripada individu sama bagi tujuan sama di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas di sini pada 11 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Prosiding hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat manakala peguam Syed Naqiuddin Shahab mewakili Mohamad Hilmi. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved