Kes Rasuah Dalam ATM: “Agaknya Lepas Ini Saya Terpaksa Lantik Sarjan Saja Jadi PAT” – Agong

LocalPolitics
19 Jan 2026 • 12:47 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Hari ini (19 Januari), Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kekecewaannya terhadap kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hingga ke peringkat tertinggi.

Perasaan itu dizahirkan baginda semasa bertitah dalam Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Parlimen.

“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia sampai peringkat tertinggi.

“Agaknya selepas ini saya terpaksa lantik Sarjan saja jadi PAT (Panglima Angkatan Tentera). Ini hanyalah sekelumit daripada segunung atau tip of the iceberg,” titahnya baginda yang turut dikongsikan di Facebook.

Amalan rasuah perlu diperangi besar-besaran – Agong

Dalam pada itu, baginda turut bertitah bahawa amalan rasuah perlulah diperangi secara besar-besaran.

“Saya pernah sebut dahulu yang saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu rasuah dan nampaknya saya telah berjaya.

“Saya yakin ada ramai lagi di luar sana, sama ada di Jabatan Kastam, imigresen, polis dan sebagainya. Serta termasuk juga yang berada di dalam Dewan akan terus diburu sampai jumpa,” titah Sultan Ibrahim lagi.

Agong tegaskan SPRM agar jalankan siasatan dengan pantas & tegas

Dalam titah sama baginda turut menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menjalankan siasatan dengan pantas, tegas dan sempurna tanpa mengira pangkat atau kedudukan, selain kerajaan disaran menyediakan hakim berpengalaman serta laluan khas di mahkamah bagi mempercepatkan perbicaraan kes rasuah.

Baginda turut mengingatkan semua Ahli Yang Berhormat dan penjawat awam bahawa jawatan yang disandang merupakan amanah rakyat dan negara.

“Sesiapa yang menyalahgunakan kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau melindungi perasuah adalah dianggap sebagai pengkhianat negara,” titah Sultan Ibrahim.

SPRM reman bekas pegawai tertinggi tentera dan 2 isterinya berhubung kes rasuah tender ATM

Sebelum ini, pada 7 Januari lalu, SPRM telah menahan seorang bekas pegawai tertinggi tentera darat dan dua isterinya berhubung projek perolehan tender tentera darat.

Ketiga-tiga mereka kemudiannya ditahan direman bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah tender tersebut.

Selain mereka, terdapat empat lagi pegawai kanan ATM yang direman dan didakwa di mahkamah berhubung kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Tindakan itu adalah berhubung dua kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Parasit yang mana membabitkan bekas PTD dan Op Star yang membabitkan bekas pegawai kanan ATM, lapor Berita Harian.