Bekas menantu kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Jovian Mandagie, kini menjadi antara individu penting yang akan dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri itu. Memetik laporan dari Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan Jovian yang juga seorang usahawan, kini menetap di Indonesia dan telah memperoleh status sebagai warganegara negara tersebut. Oleh itu, SPRM tidak mempunyai kuasa untuk memaksanya kembali ke Malaysia, sebaliknya akan menghantar pasukan khas ke sana dalam masa terdekat untuk merakam keterangannya. Setakat ini, 57 individu telah dipanggil bagi membantu siasatan, termasuk beberapa nama penting yang berkait rapat dengan Ismail Sabri. Siasatan ini melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana ketika pelaksanaan program Keluarga Malaysia sepanjang pentadbiran Ismail Sabri dari Ogos 2021 hingga November 2022. Artikel lain: Siasatan terhadap Ismail Sabri, SPRM sita 13 akaun dengan simpanan berjumlah RM9.33 juta Difahamkan, Ismail Sabri telah membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu dan SPRM kini sedang menganalisa aset serta sumber kewangannya. Menurut Azam, sama ada bekas Perdana Menteri itu akan dipanggil semula atau tidak, bergantung kepada keperluan hasil siasatan. Ketika ini, Ismail Sabri disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022. Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Sumber: Utusan Malaysia (Muhd. Husni Muhd. Noor)
Bekas menantu kini warganegara Indonesia
“Kita tidak boleh memaksa beliau (Jovian) datang ke sini sebaliknya kita kena pergi jumpa beliau di sana (Indonesia) memandangkan beliau sudah menjadi warganegara negara itu.
Saya sudah meminta Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainal Darus untuk mempercepatkan proses ambil keterangan itu,” katanya dalam sidang media.
Bekas menantu antara yang akan disoal

Ismail Sabri sudah isytihar aset
“Sekiranya terdapat elemen-elemen yang cukup untuk dituduh, kita akan cadangan pertuduhan terhadap beliau,” jelas Azam lagi.


