
KOTA BHARU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat permohonan kepada mahkamah dalam tempoh seminggu dua lagi untuk melucuthakkan semua aset, termasuk wang tunai RM170 juta dan 16 kilogram (kg) jongkong emas yang ditemui dalam 'safehouse' yang dikaitkan dengan mantan perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata sekiranya beliau (Datuk Seri Ismail) mencabar di mahkamah, perbicaraan akan dijalankan.
"Wang ini sekiranya berjaya dilucuthakkan, ia akan menjadi hasil kepada kerajaan. Itu yang diputuskan.
"Timbalan Pendakwa Raya belum memutuskan ada pertuduhan atau tidak, kita sudah siapkan kerja dan terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk menilainya sama ada (kes) ada atau tidak pertuduhan jenayah," katanya, lapor BH.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Persaraan Bakti Disanjung Budi Dijunjung Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain, hari ini.
Majlis itu turut menyaksikan Rosli, menyerahkan tugas kepada Azmin Yusuff yang dilantik sebagai Pengarah SPRM Kelantan yang baharu.
Sebelum ini, Ismail Sabri beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Azam dilaporkan berkata, siasatan dibuat susulan arahan supaya Ismail Sabri membuat pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Ismail Sabri pada 10 Februari lalu membuat pengisytiharan harta dan SPRM sedang menganalisis sumber perolehan aset berkenaan.
Pada 3 Jun lalu, SPRM mempamerkan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai hampir RM7 juta dalam sidang akhbarnya.
Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan jutaan ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah 'safehouse' berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ismail. - 3 Julai, 2025
The post Kes rasuah Ismail Sabri: SPRM akan mohon mahkamah lucut hak RM170 juta, aset yang dirampas appeared first on Scoop.


